Wan Ji tidak bergerak berseorangan
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Meskipun disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara setahun, penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin masih boleh berceramah di sebuah masjid di Melaka dua hari lepas sehingga tercetusnya kekecohan di sana.
Situasi berkenaan membuatkan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahya merasakan penceramah itu tidak bergerak berseorangan dan ada pihak berada di belakangnya.
Menurutnya, tindakan beliau berceramah di masjid berkenaan seolah-olah cuba mencetuskan provokasi dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia.
“Saya melihat dalam konteks yang lebih besar, seolah-olah ini adalah strategi provokasi. Dia tahu orang itu begitu (disabitkan bersalah dan akan dipenjara) tapi dia tonjolkan lagi.
“Ini seolah-olah mencabar umat Islam. Jadi kalau ada yang menyalahkan sebelah pihak, itu tak adil bagi saya,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Kempen Beli Produk Muslim di sini hari ini.
Ketika ditanya adakah beliau merasakan wujudnya dalang yang merancang strategi provokasi seperti didakwanya, Aminuddin tidak menyebut sebarang nama namun tetap menegaskan Wan Ji tidak bergerak berseorangan.
“Saya pernah berdialog dengan dia, saya tak mahu menyatakan lebih dari itu tapi saya yakin dia tak bergerak secara berseorangan.
“(Ada yang mengatur pergerakannya?) Itu anda buatlah andaian sendiri. Tafsirlah sendiri tapi bagi saya, saya tak rasa dia gerak sendirian,” ujarnya.
Tambah Aminuddin, Ummah tidak boleh menghalang pihak masjid untuk memanggil Wan Ji namun beliau tidak bersetuju penceramah tersebut diberi ruang berceramah terutamanya dalam kawasan masjid.
“Kalau dia berceramah di tempat persendirian kita tak boleh halang, itu terpulang kepada pengurusan masjid yang menjemput beliau. Cuma bagi saya, kalau berlaku lagi peristiwa seperti di Melaka, jangan salahkan sebelah pihak.
“Itu sangat penting bagi saya. Sekarang orang nampak yang berdemo itu pula salah tapi pengurusan masjid dan sikap ustaz itu sendiri yang masih nak berceramah tak nampak salah pula,” katanya.
Semalam, Wan Ji mendakwa kekecohan di Masjid Ar Rahman, Kampung Parit Melana, Durian Tunggal malam semalam dilakukan individu dari luar kawasan kariah yang merupakan ahli Pas dan UMNO.
Katanya, ini kerana beliau melihat sendiri sebahagian daripada individu yang hadir membuat kecoh itu memakai pakaian berlogo Pas dan UMNO.
“Mereka yang buat kacau itu sebenarnya ahli Pas yang mendapat seruan berdasarkan surat rasmi dikeluarkan Pas Melaka supaya ahli-ahli Pas di peringkat negeri itu datang ke masjid membuat demonstrasi.
“Lepas itu saya nampak ada orang pakai baju UMNO. Mereka ini bukan orang tempatan dan mereka buat kacau di situ untuk mengganggu kuliah yang saya sampaikan selepas solat maghrib,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!