Jangan percaya mesej palsu dakwa Pulau Batam tidak selamat
SHAH ALAM - Orang ramai diminta untuk tidak mempercayai penularan mesej palsu yang mendakwa Pulau Batam, Indonesia kini berada dalam keadaan tidak selamat.
Menurut Ketua Biro Agensi Berita ANTARA Batam, Evy Ratnawati, tiada sebarang kejadian yang berlaku di pulau tersebut seperti yang ditularkan.
"Kami di Batam aman damai. Alhamdulillah, tidak ada kekacauan atau perkelahian seperti video yang dikirimkan kepada saya.
"Saya juga terkejut saat terima kiriman Pak Agus. Kami sangat terkejut melihatnya kerana informasi palsu yang amat merugikan nama baik negeri kami," katanya ketika di hubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Hari ini, tular empat klip video menerusi aplikasi WhatsApp yang menunjukkan anggota tentera Indonesia telah diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan senapang.
Dalam video yang lain turut dipaparkan beberapa lelaki dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan termasuk ada yang telah mati.
Terdapat juga rakaman yang menunjukkan kumpulan lelaki bersenjata itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia.
Sementara itu, mesej yang dikirimkan bersama video tersebut memberikan amaran supaya orang ramai tidak mengunjungi Pulau Batam.
"Kalau ada sahabat-sahabat hendak ke Pulau Batam elok tangguhkan dulu. Sepupu saya hantar mesej tengah tegang sekarang di sana.
"Antara pihak tentera dan rakyat, ramai mati, cedera dan ditangkap," kata pengirim tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!