Ruang udara Korea Selatan diceroboh pesawat Rusia
SEOUL - Korea Selatan hari ini berkata pihaknya melepaskan tembakan amaran ke arah sebuah pesawat tentera Rusia yang menceroboh ruang udara negaranya di bahagian pantai timur.
Pesawat Rusia terbabit dilaporkan menceroboh ruang udara Korea Selatan sebanyak dua kali menyebabkan Tentera Udara melepaskan tembakan amaran.
Pencerobohan pertama selama tiga minit berlaku pada kira-kira 9 pagi (waktu tempatan) semalam.
Tentera Korea Selatan berkata, pesawat terbabit kembali semula setengah jam kemudian, kali ini selama empat minit.
Sehubungan itu, Tentera Udara mengerahkan beberapa jet F-15k dan F-16k bagi memintas pesawat dan melepaskan tembakan selepas menghantar pesanan kepada pesawat terbabit.
Menurut pihak berkuasa, ini merupakan kali pertama pesawat Rusia menceroboh ruang udara Korea Selatan dan pihak tentera sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian.
Tentera memaklumkan, insiden berlaku berhampiran Dokdo, kepulauan yang dikawal Korea Selatan namun dituntut oleh Jepun. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!