Warga emas rugi RM15,000 terpedaya helah lelaki Indonesia
SABAK BERNAM - Seorang warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM15,000 lebur gara-gara terpedaya dengan helah lelaki warga Indonesia yang menjanjikan hadiah kemenangan tiket loteri berjumlah RM300,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kejadian jam 10 pagi itu berlaku di Pejabat Pos Sabak Bernam di sini semalam.
Menurutnya, mangsa berusia 80 tahun didatangi suspek yang meminta bantuan meminjam wang bagi merawat isteri yang kononnya baru melahirkan anak.
"Sebagai cagaran, suspek menunjukkan satu tiket loteri dengan hadiah kemenangan berjumlah RM300,000 kepada mangsa," katanya.
Chee Khoon berkata, akibat terpedaya janji manis suspek, mangsa kemudiannya bersetuju untuk membantu.
"Suspek membawa mangsa masuk ke dalam sebuah kereta bersama dua lagi lelaki dipercayai warga tempatan yang menunggu di dalam kenderaan.
"Suspek membawa lelaki itu ke sebuah bank di Sungai Besar dan mengeluarkan wang berjumlah RM10,000 sebelum menyerahkannya kepada suspek di dalam kereta," katanya.
Bagaimanapun, katanya, suspek memaklumkan wang itu tidak mencukupi dan membawa mangsa membuat pengeluaran kali kedua di sebuah lagi bank di Sungai Besar.
"Di bank itu, mangsa mengeluarkan wang berjumlah RM5,000 dan menyerahkannya pada suspek.
"Suspek kemudian membawa semula mangsa ke Pejabat Pos Sabak Bernam dan memaklumkan akan datang semula dalam masa dua jam," katanya.
“Siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Semalam, tular di media sosial Facebook seorang warga emas mengalami kerugian RM15,000 selepas mendakwa dipukau di Pejabat Pos Sabak Bernam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!