Kempen 'Sayangi Sawitku' bakal diperluas ke sekolah: Teresa

Teresa (tiga dari kanan) menyerahkan pensijilan MSPO kepada salah seorang pengusaha tanaman kelapa sawit negeri Perak di Kuala Kangsar, hari ini.
Teresa (tiga dari kanan) menyerahkan pensijilan MSPO kepada salah seorang pengusaha tanaman kelapa sawit negeri Perak di Kuala Kangsar, hari ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kempen 'Sayangi Sawitku' yang dilancarkan kerajaan pada 6 April lalu bakal diperluaskan ke peringkat sekolah pada masa hadapan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, kempen kesedaran dan pendidikan kepada rakyat mengenai khasiat minyak sawit dihasilkan di negara ini sangat wajar didedahkan kepada golongan pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Menurutnya, modul pendedahan kempen 'Sayangi Sawitku' mungkin diselitkan dalam mana-mana subjek mata pelajaran bersesuaian seperti Kesihatan dan Bahasa Melayu, bergantung kepada keputusan Kementerian Pendidikan.

"Bagi saya, cadangan memperluaskan kempen 'Sayangi Sawitku' ke peringkat sekolah sangat baik memandangkan masih ramai tidak tahu mengenai khasiat dan kepelbagaian kegunaan minyak sawit tempatan dalam industri makanan, keperluan harian dan barangan kosmetik.

"Kesedaran mengenai kepentingan industri minyak sawit negara ini perlu bermula dari sekolah dan Menteri Pendidikan sudah menyatakan persetujuan dengan cadangan itu setelah mengadakan perbincangan dengan kami sebelum ini," katanya kepada media pada majlis taklimat MSPO dan sesi dialog bersama penanam sawit Perak di sini hari ini.

Teresa berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya perlu menunggu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan kajian semula silibus pembelajaran peringkat sekolah menengah dan rendah yang dijangka dibuat tahun hadapan.

Menurutnya, modul kempen 'Sayangi Sawitku' mungkin boleh diselitkan dalam buku teks sekolah rendah dan menengah atau dijadikan satu mata pelajaran khas, bergantung kepada keputusan KPM kelak.

Dalam perkembangan lain, Teresa menjangkakan tarikh kelulusan Kementerian Kewangan bagi memperkenalkan skim pinjaman penanaman semula kelapa sawit serta skim pekebun kecil bagi pembelian benih baja dan sebagainya akan dimuktamadkan dalam bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengenalan skim bagi menggantikan skim geran penanaman semula kelapa sawit dinikmati pekebun kelapa sawit sebelum ini bakal memberi kemudahan kepada mereka apabila faedah pinjaman dikenakan sangat rendah iaitu dua peratus.

"Ketika ini, saya difahamkan Kementerian Kewangan sedang berbincang dengan pihak bank bagi memuktamadkan syarat permohonan pinjaman oleh pekebun sawit berminat.

"Sekiranya tiada masalah, saya jangka pengumuman mengenai pengenalan dua skim terbabit akan dilaksanakan Kementerian Kewangan dalam bulan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!