Kelengkapan sekolah rosak akibat banjir lumpur
AMPANG - “Baju dan kelengkapan sekolah tiga anak musnah dalam kejadian banjir lumpur,” luah seorang bapa yang turut terjejas dalam kejadian banjir melibatkan 13 rumah di kawasan perumahan Taman Seri Bayu, di sini, Ahad lalu.
Ahmad Razif Abdul Khalid, 40, berkata, dia dan isterinya membeli kelengkapan sekolah anak mereka minggu lalu, sebelum pulang ke kampung.
“Perancangan untuk bercuti panjang di kampung sehingga Ahad ini terpaksa dibatalkan apabila jiran menghubungi saya memaklumkan rumah dinaiki air lumpur,” katanya.
Menurutnya, keluarganya terpaksa membersihkan lantai rumah yang dipenuhi lumpur, di samping memeriksa kelengkapan sekolah yang masih boleh dipakai.
“Beg sekolah yang masih boleh digunakan akan dicuci, manakala buku yang basah pula dijemur,” katanya.
Menurutnya, kejadian banjir lumpur di kawasan perumahan tersebut pertama kali berlaku sejak penduduk mendiami kawasan itu 20 tahun lalu.
“Sebelum ini hanya kawasan rumah kedai berhadapan taman perumahan ini sahaja yang dilanda banjir, namun kejadian pada kali ini, air lumpur telah memasuki ruang tamu sehingga ke dapur,” katanya.
Sementara itu Ahli Majlis MPAJ, Zulkifli Ibrahim berkata, pihaknya akan mengadakan sesi dialog bersama pemaju, kontraktor dan penduduk terbabit bagi membincangkan isu banjir.
“Saya berharap perbincangan yang dijangka akan diadakan minggu ini dapat menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh penduduk, mereka berharap kejadian banjir lumpur ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Yang Dipertua MPAJ, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya dimaklumkan sistem saliran di kawasan yang terlibat tidak mampu untuk menampung kapasiti hujan lebat, kelmarin.
“Sistem saliran di MPAJ hanya boleh menampung 70mm hingga 75mm air hujan dalam tempoh sejam, pada hari kejadian kapasiti hujan dianggarkan lebih 80mm.
“Antara kawasan yang terjejas akibat banjir adalah Taman Pandan Mewah, Taman Seri Bayu, Tasik Tambahan dan Taman Saga,” katanya.
Menurutnya, sebahagian kawasan banjir tersebut dipercayai berhampiran dengan pembangunan projek lebuhraya.
“Pihak kontraktor yang terlibat telah mengambil tindakan susulan dengan membantu membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!