KUALA TERENGGANU - Seorang remaja perempuan bukan saja dirogol teman lelaki, malah gambarnya dalam keadaan berbogel turut dirakam secara bergilir-gilir oleh dua rakan lelaki itu di tepi jalan di Wakaf Tapai, Marang. Dalam kejadian Jumaat lalu, teman lelaki pelajar tingkatan dua itu mengajaknya keluar melepak di Pantai Batu Burok di sini sebelum mangsa bersetuju dan mengikut suspek menaiki motosikal kira-kira jam 8 malam. Menurut sumber, mangsa kemudian meminta teman lelakinya menghantar balik ke rumah tetapi dihalang suspek dengan alasan sudah lewat malam sebelum membawanya ke lokasi lain sambil diekori dua rakannya itu. "Mereka tiba di lokasi setelah hampir setengah jam perjalanan. Mangsa dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta tidak dikenali di tepi jalan di situ. "Bagaimanapun, mangsa berkeras tidak mahu sebelum berlaku pergelutan dengan suspek dan dia ditolak masuk ke dalam kenderaan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini. Sumber berkata, ketika di dalam kereta suspek memaksa mangsa membuka pakaiannya sambil tangannya dipegang salah seorang rakan suspek. "Sebelum merogol mangsa, suspek dikatakan secara bergilir-gilir dengan dua lagi rakannya merakam video keadaan gadis itu yang tidak berpakaian. "Mangsa kemudian dihantar pulang ke rumahnya di Kuala Nerus dan dia pada awalnya mengambil keputusan untuk mendiamkan diri kerana terlalu takut dengan kejadian itu," katanya. Menurut sumber, mangsa membuat laporan polis selepas seorang rakan perempuan memberitahu gambar bogelnya tersebar selain dia turut diugut suspek untuk menyebar video dirakam. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan laporan oleh mangsa. "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.