Tiga lagi orang asli ditahan halang roboh sekatan

Operasi meroboh sekatan yang dijalankan di Kampung Sungai Papan pagi tadi mendapat halangan penduduk menyebabkan tiga orang asli ditahan. Foto- Facebook COAC.
Operasi meroboh sekatan yang dijalankan di Kampung Sungai Papan pagi tadi mendapat halangan penduduk menyebabkan tiga orang asli ditahan. Foto- Facebook COAC.
A
A
A

GERIK - Tiga lagi penduduk orang asli ditahan polis selepas didapati menghalang kerja-kerja meroboh sekatan di Kampung Sungai Papan pagi tadi.

Ketiga-tiga mereka ditahan ketika operasi bersepadu diketuai Jabatan Perhutanan negeri dilancarkan sekitar jam 10.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, penahanan itu dibuat bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, maklumat awal mendapati, sekatan baharu telah didirikan penduduk di tempat yang sama seperti sebelum ini.

"Dalam operasi ini tiga orang asli yang menghalang proses roboh telah ditahan untuk siasatan," katanya.

Sabtu lepas, polis menahan tiga individu di kawasan itu selepas terlibat dalam sekatan bagi menghalang kerja-kerja pembalakan di kawasan Hutan Simpan Air Chepam.

Bagaimanapun mereka dibebaskan tanpa syarat pada hari sama sebaik selesai proses dokumentasi.

Dalam pada itu, Jabatan Perhutanan Perak dalam satu kenyataan berkata, penahanan tiga lelaki dari komuniti orang asli Temiar pada 20 Julai lepas adalah susulan laporan polis yang dibuat syarikat pembalakan apabila ketiga-tiga mereka bertindak sebagai dalang sekatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekatan itu dibina sekumpulan orang asli Sungai Papan pada 17 Julai lalu di atas tanah milik Felda yang jaraknya 25 kilometer dari penempatan orang asli Sungai Papan.

"Semakan menunjukkan ketiga-tiga lelaki itu bukan berasal dari Sungai Papan, sebaliknya berasal dari Kampung Cunex iaitu kampung serpihan daripada RPS Dala.

"Ia dibina bagi menghalang aktiviti pembalakan dalam Hutan Simpan Air Chepam yang didakwa sebagai tanah adat milik mereka," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sekatan didirikan penduduk telah menyebabkan ketegangan berlaku antara pelesen dan masyarakat orang asli di sana menyebabkan satu laporan polis terpaksa dibuat pihak pelesen bertujuan menjaga keselamatan pekerja dan jentera.

"Mereka juga memohon bantuan keselamatan polis untuk meroboh sekatan yang dibina. Dalam operasi itu pihak jabatan tidak terlibat," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, semakan dokumen mendapati, syarikat pembalakan tersebut telah diberikan kelulusan untuk mengusahakan kawasan seluas 80 hektar di Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak.

"Pelesen ini telah selesai menjalankan pengusahasilan (seluas 38 hektar – Petak 1) dan masih lagi berbaki 42 hektar yang belum diusahakan di mana jalan masuk ke Petak 2 yang terletak di Hutan Simpan Air Chepam ini yang menjadi pertikaian dan dibina sekatan oleh orang asli Sungai Papan," katanya.

Setakat ini, Jabatan Perhutanan negeri telah mengeluarkan sejumlah 55 lesen pengusahasilan dengan keluasan 4,083 hektar yang mana ia masih lagi mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) Jabatan sebanyak 7,744 hektar bagi tahun 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!