MNKT bincang Pelan Tindakan Aksesibiliti OKU
PUTRAJAYA - Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang bermesyuarat di sini hari ini, membincangkan Pelan Tindakan Aksesibiliti Orang Kurang Upaya melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kertas pertimbangan mengenai Pelan Tindakan Aksesibiliti Orang Kurang Upaya sebagai panduan standard dalam pembangunan pelan tindakan aksesibiliti oleh setiap PBT dibentangkan pada mesyuarat MNKT ke-74 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
"Ia merangkumi panduan untuk meningkatkan aksesibiliti kemudahan dalam dan luar bangunan serta ruang awam di dalam kawasan setiap PBT,” menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu.
Menurut KPKT, mesyuarat MNKT itu juga membincangkan mengenai garis panduan kawalan nyamuk di kawasan PBT yang memfokuskan kepada aktiviti pencegahan dan kawalan pembiakan nyamuk di premis serta persekitaran setempat.
"Tiga strategi yang digariskan dalam garis panduan ini adalah pengurusan kawasan berisiko, promosi kesihatan dan penglibatan masyarakat serta penguatkuasaan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Turut dibincangkan pada mesyuarat hari ini ialah garis panduan yang akan dijadikan panduan seragam kepada PBT dalam menguruskan pasar malam, pasar harian dan pasar tani di kawasan masing-masing.
Mesyuarat turut membincangkan mengenai Dasar Komuniti Negara yang bermatlamat untuk mendaya upaya komuniti di kawasan perumahan khususnya perumahan berstrata supaya terlibat secara aktif dalam usaha penyenggaraan dan pengurusan harta awam dan harta bersama.
MNKT bertanggungjawab sebagai pembuat dasar serta penasihat mengenai hal-hal berkaitan dengan kerajaan tempatan khususnya dari segi dasar-dasar, kawalan dan pembangunan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!