Lelaki ini orang pertama menyedari tsunami tapi...
JAKARTA - INDONESIA. Rupanya kejadian awal tsunami yang melanda Lampung dan Banten pada Sabtu lalu telah disedari seorang pengguna Twitter.
Pemilik akaun bernama @BiLLRaY_ telah memuat naik rakaman video paras air laut naik mendadak di Pantai Anyer, Banten.
Menurut @BiLLRaY_ kejadian berlaku jam 9.15 malam (waktu tempatan).
"Innalillahiwainnailaihirojiun. Tsunami, air laut Pantai Anyer naik pukul 21.15 WIB," tulis @BiLLRaY_.
Dalam rakaman itu, jelas kelihatan air laut masuk ke sebuah hotel di Pantai Anyer.
Kejadian itu berlaku di Hotel Grand Elti Krakatau.
Selain itu, terdapat juga penyebaran gambar perahu naik ke daratan dan sebuah kereta berwarna merah terbalik di lokasi terbabit.
Bagaimanapun, video berkenaan telah dipadam tidak lama selepas Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) mengumumkan kejadian di Selat Sunda itu berpunca daripada ombak besar akibat bulan penuh, sekali gus menyangkal dakwaan berlakunya tsunami.
“BMKG tidak merekodkan kejadian gempa bumi malam tadi. Apa yang berlaku di Anyer dan kawasan sekitarnya bukan tsunami tetapi ombak besar.
“Kejadian bulan penuh malam tadi, yang mengakibatkan ombak besar. Sila bertenang,” mesej yang dimuat naik BMKG di akaun Twitternya pada malam Sabtu lalu.
Difahamkan, masyarakat di Pantai Anyer dan Lampung Selatan dikejutkan dengan kenaikan paras air yang mendadak dan menghempas bangunan sekitar pukul 9.30 malam.
Setakat semalam, angka korban akibat serangan tsunami di Selat Sunda meningkat kepada sekurang-kurangnya 373 orang dan mencederakan lebih 1,400 lain di barat Jawa dan selatan Sumatera.
Jurucakap agensi pencegahan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, 1,459 mangsa cedera sementara 128 lagi masih hilang susulan tsunami dicetuskan aktiviti gunung berapi Anak Krakatau. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!