18 pegawai, anggota JPJ Pulau Pinang didakwa esok
GEORGETOWN - Seramai 18 pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Butterworth secara berperingkat bermula esok.
Mereka adalah sebahagian daripada lebih 70 pegawai penguat kuasa jabatan itu yang ditahan berhubung kes melindungi sindiket 'lori kebal' awal tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, kesemua mereka terdiri daripada pegawai dan penguat kuasa Gred 19 hingga 29 yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
"Kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Butterworth esok secara berperingkat. Kemungkinan enam orang dahulu dan akan disusuli dengan 12 lagi pada hari berikutnya.
"Buat sementara ini, hanya itu sahaja yang boleh saya berikan. Sama ada akan ada lagi tangkapan atau sebaliknya, kita tidak boleh dedahkan kerana tidak mahu ia mengganggu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pada 16 April lalu, lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan sekitar Pulau Pinang.
Kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.
Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan.
Difahamkan, modus operandi yang digunakan adalah membekalkan pelekat khas kepada lori yang dilindungi agar senang dikenal pasti.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!