'Kami hanya isytihar kepada SPRM', kata pembangkang Perak

Saarani (duduk, tengah) bersama sebahagian ADUN Pembangkang ketika sidang media selepas Sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Saarani (duduk, tengah) bersama sebahagian ADUN Pembangkang ketika sidang media selepas Sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang Perak sebulat suara bersetuju mengemukakan borang pengisytiharan harta hanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya tidak akan mengemukakan borang pengisytiharan harta kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham sepertimana dikehendaki di dalam usul pengisytiharan harta yang diluluskan DUN Perak, hari ini.

Menurutnya, usul tersebut disifatkan sebagai bermotif politik dan menyalahi doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di negara ini.

"Kami hanya akan menyerahkan borang pengisytiharan harta kepada SPRM. Kita tak akan serah kepada Speaker dan kita akan lihat apa tindakan selanjutnya. Secara prinsipnya kami setuju semua ADUN kena isytihar harta dan kita tak tolak.

"Mengapa perlu disyaratkan mengisi borang dan diserahkan kepada Speaker dan salinan diberikan kepada SPRM? Ini menyalahi doktrin pengasingan kuasa. Cukuplah Akta SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedia ada," katanya pada sidang media selepas Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai usul pengisytiharan harta semua ADUN Perak termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam akuan berkanun.

ARTIKEL BERKAITAN: Perak wajibkan ADUN isytihar harta

Sementara itu, Saarani berkata, usul yang diluluskan juga tidak mengikut prosedur yang ditetapkan di dalam Perintah-Perintah Tetap DUN Perak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebarang usul yang dikemukakan perlu dibahas dan kemudiannya pencadang perlu ada penggulungan dengan mengambil kira isi kandungan perbahasan dikemukakan ADUN-ADUN sebelum diundi.

"Bagi kami, ini hari paling buruk dalam sejarah DUN Perak yang telah menunjukkan bagaimana Speaker dangkal dalam pengetahuan mengikut Perintah-Perintah Tetap seawal mula usul telah dibentang.

"Kaedah mengundi ada dua, satu dengan suara dan satu lagi dengan undi belah bagi. Tapi tengok tadi, belum sempat digulung, tiba-tiba Speaker terus umum undi suara. Saya dah bangun untuk undi belah bagi tetapi diabaikan," katanya.

Beliau berkata, tindakan Koo Ham itu merupakan satu sejarah buruk apabila menjadi presiden yang salah kepada generasi muda akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!