Hari tua: Artis perlu libatkan diri dalam perniagaan

Norman Hakim. Foto: SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR
Norman Hakim. Foto: SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan selebriti atau artis perlu memanfaatkan peluang menjadi orang yang dikenali sebagai peluang untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan sebagai persediaan menghadapi hari tua.

Selebriti terkenal, Norman Hakim berkata, sebagai individu yang dikenali seseorang artis itu perlu ‘menjual’ diri mereka untuk melonjakkan lagi nama dan seterusnya meraih pendapatan dalam apa sahaja platform termasuk digital yang ada ketika ini.

“Sebenarnya diri kita sendiri juga merupakan satu bentuk perniagaan di mana setiap kali dipanggil untuk berlakon, tetamu program dan sebagainya merupakan peluang untuk kembangkan lagi jenama.

“Sebagai contoh selain berlakon dalam drama yang berkonsepkan kepolisan tetapi bila ada platform digital seperti laman sosial Facebook dan Instagram yang banyak saya kongsikan kekeluargaan saya turut dipanggil oleh agensi kerajaan untuk memberi ceramah atau berkongsi bagaimana untuk satukan kembali keluarga yang berpecah belah (perceraian).

“Itu adalah jenama (kita sebagai artis) dan daripada situ kita dapat jana pendapatan untuk bantu kukuhkan lagi ekonomi keluarga kerana bidang seni ini bukan menawarkan pendapatan tetap,” katanya pada Wacana Sinar Harian ke-118 bertajuk Realiti Kehidupan Artis: Betul=betul kaya Atau Sekadar Bergaya Kaya di Auditorium Karangkraf di sini hari ini.

Menurut Norman yang juga dikenali sebagai usahawan itu lagi, bagi memastikan kehidupan keluarganya stabil khususnya melibatkan kewangan, dia sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan semasa mengenai bidang perniagaan agar tidak ketinggalan.

“Tiap-tiap bulan saya hadiri kursus supaya minda saya sentiasa berfungsi dan mengikut perkembangan semasa kerana sebagai artis kita tidak boleh bersikap selesa dengan apa yang kita miliki ketika ini.

“Saya juga melihat bahawa bulatan atau perhubungan sekeliling juga memainkan peranan penting dalam memberikan motivasi untuk capai kejayaan dalam hidup,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!