Premis jual gula-gula 'Ghost Smoke' kena serbu

Omar bersama sepasukan penguat kuasa KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah premis pemborong barang mainan dan makanan ringan di Bukit Pinang tadi.
Omar bersama sepasukan penguat kuasa KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah premis pemborong barang mainan dan makanan ringan di Bukit Pinang tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah membuat serbuan mengejut di sebuah premis pemborong barang mainan dan makanan ringan di Bukit Pinang, di sini kerana disyaki menjual produk gula-gula 'Ghost Smoke', di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail berkata, pemeriksaan di gudang terbabit bagaimanapun tidak menemukan gula-gula yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok seperti tular di laman sosial di premis itu.

Bagaimanapun menurutnya, pemilik premis pemborong berkenaan mengakui pernah mengedar ataupun menjual produk gula-gula tersebut lebih kurang dua hingga tiga bulan lepas kepada orang awam.

"Sehingga kini, pemilik premis mendakwa telah menjual kira-kira 184,320 paket gula-gula berkenaan yang diedarkan sekitar Kedah, Perak dan Sabah dengan harga belian sekotak RM4.60 dan dijual RM6.30.

"Bagaimanapun, pemilik mendakwa dia mengambil keputusan menghentikan jualan 'Ghost Smoke' sekitar dua bulan lepas berikutan berdepan saingan dengan pemborong lain dan harga produk menurun," katanya.

Sehubungan itu katanya, penguat kuasa KPDNHEP telah diarahkan melakukan pemeriksaan dan pemantauan penjualan gula-gula 'Ghost Smoke' di kedai-kedai lain secara berterusan di negeri ini bertujuan menghentikan penjualan produk itu.

Sebelum ini, video murid sekolah menikmati gula-gula 'Ghost Smoke' yang mengeluarkan asap seolah-olah rokok yang dilaporkan dijual secara terbuka kepada murid sekolah menjadi tular di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN:

Artikel Berkaitan:

Video murid hisap gula-gula berasap undang kebimbangan ibu-bapa

Haramkan segera gula-gula berasap

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!