Mahkamah benarkan pasport Musa Aman dikembalikan
PUTRAJAYA - Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman boleh mendapatkan semula pasportnya daripada mahkamah untuk membolehkannya ke luar negara.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada hakim-hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof membenarkan pemohonannya untuk memulihkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkannya mendapatkan semula pasportnya untuk tujuan mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.
"Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan perintah Mahkamah Sesyen dipulihkan tertakluk kepada penjadualan semula tarikh-tarikh janji temu Musa dengan doktornya," kata Hakim Abdul Rahman yang menjadi pengerusi panel.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan tidak menemui sebarang kekhilafan dalam keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan pasport Musa dipulangkan kepadanya.
Musa, 68, dituduh pada 5 November 2018, dengan 35 pertuduhan rasuah membabitkan AS$63.3 juta (RM263 juta) berkaitan kontrak konsesi pembalakan di Sabah. Dia dibenarkan diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin.
Pada 7 Januari tahun ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan Musa untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya untuk membolehkannya mendapatkan rawatan di London.
Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonannya dengan syarat Musa mesti melakukan perjalanannya hanya ke Singapura dan London dalam tempoh itu – jika tidak, wang jaminannya dirampas.
Beliau berkata Musa perlu melapor diri di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, dan di London, beliau dikehendaki melapor diri kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia setiap tiga hari sepanjang tempoh dia di sana, dari 23 Januari hingga 8 Februari tahun ini.
Pihak pendakwaan telah memfailkan semakan semula kes itu di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu.
Pada 16 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan oleh pendakwaan dan mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen.
Musa diwakili peguam Ng Aik Guan manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar menjalankan pendakwaan.
Sementara itu, seorang lagi peguam Musa, Amer Hamzah Arshad memberitahu pemberita bahawa anak guamnya perlu menghubungi doktor-doktornya terlebih dahulu bagi menetapkan tarikh janji temu baharu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!