SPRM perlu masa teliti semula kes kontroversi

Latheefa pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang hari ini.
Latheefa pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan masa untuk meneliti semula kes-kes kontroversi yang pernah mendapat perhatian awam termasuk di Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, pihaknya memerlukan tempoh masa untuk proses meneliti semula kesemua kes itu termasuk yang melibatkan individu berpengaruh dan berprofil tinggi.

Menurutnya, SPRM perlu melihat kembali bagaimana kesemua kes terbabit diselesaikan.

"Saya dimaklumkan ada banyak kes kontroversi yang melibatkan orang kenamaan dan berprofil tinggi antaranya di Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang. Oleh itu, saya perlu masa untuk meneliti semula semua kes tersebut.

"Ia bukan satu proses yang cepat dan saya akan melihat kembali bagaimana kes-kes itu diselesaikan," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Latheefa bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini.

Dalam pada itu, Latheefa berkata, tiada keperluan untuk SPRM membuka semula kes rasuah banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memandangkan kes tersebut sudah diputuskan oleh mahkamah.

"Adalah tidak masuk akal untuk SPRM membuka semula kes yang sudah selesai di mahkamah melainkan sekiranya didapati terdapat unsur yang salah dalam proses tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes banglo ini, kita merasakan tiada keperluan untuk membuka semula kes yang sudah diputuskan di mahkamah," katanya.

Pada 3 September tahun lalu, mahkamah tinggi di sini melepaskan dan membebaskan Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Ia berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng, dan Datuk V Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Li Koon supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!