KPDNHEP rampas 59,380 kg baja kawalan tanpa lesen
BUKIT KAYU HITAM - Kira-kira 59,380 kilogram (kg) baja kawalan tanpa lesen disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah dalam Ops Barang Kawalan Berjadual Baja, di sini kelmarin.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail berkata, pihaknya merampas baja kawalan tanpa lesen itu dalam pemeriksaan kira-kira jam 9 pagi di dua lokasi di Sanglang dan Kampung Kuala Kerpan, Ayer Hitam.
Menurutnya, sebanyak 1,535 beg baja termasuk 598 baja urea 20kg dianggarkan bernilai RM73,385.20 dirampas sepasukan 10 pegawai penguat kuasa KPDNHEP ibu pejabat dan Kubang Pasu di Sanglang.
"Sebanyak 1,109 beg baja lagi dianggarkan bernilai RM72,360 dirampas di lokasi kedua di Kampung Kuala Kerpan di sini," katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.
Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan baja kawalan tanpa lesen itu yang terdiri daripada baja sebatian 25kg, baja sebatian 20kg dan baja urea 20kg adalah RM145,745.20.
Katanya, susulan itu seorang lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia lingkungan 50-an telah diambil rakaman percakapan untuk membantu siasatan.
"Jika sabit kesalahan pertama, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali bagi individu.
"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun ataupun kedua-dua sekali," katanya.
Menurutnya, untuk syarikat, hukuman denda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta untuk kesalahan seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!