Kesedaran daftar sijil MSPO terlalu rendah
KUALA KANGSAR - Tahap kesedaran golongan pengusaha kelapa sawit terhadap kepentingan melaksanakan amalan pertanian baik melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di negara ini masih terlalu rendah dan membimbangkan.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, sehingga 30 Jun lalu, keluasan tanaman sawit di Malaysia mendapat pensijilan MSPO itu hanya mencapai 2.45 juta hektar atau 42 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia.
Selain itu, beliau menegaskan hanya 244 buah kilang buah sawit atau 54 peratus daripada keseluruhan kilang buah sawit di Malaysia mendapat pensijilan MSPO, manakala 124 kelompok penanam sawit mampan (SPOC) di seluruh negara mendapat pensijilan itu melibatkan penyertaan 12,000 pekebun kecil dengan keluasan kebun 46,000 hektar.
"Angka peratusan itu jauh lebih rendah daripada sasaran 100 peratus pengeluaran minyak sawit mampan dijanjikan kerajaan Malaysia sebelum tarikh 31 Disember ini bagi memenuhi syarat Deklarasi Amsterdam yang memerlukan pengimportan minyak sawit 100 peratus mampan.
"Sekiranya sasaran itu tidak dipenuhi, mana-mana pengeluaran minyak sawit tidak berlandaskan pensijilan MSPO akan dianggap minyak sawit kelas kedua yang hanya dijual dengan harga rendah dan tidak boleh dieksport ke luar negara.
"Justeru, kerajaan meminta lebih ramai golongan pengusaha kelapa sawit menyedari kepentingan mendapatkan pensijilan MSPO sebelum 31 Disember ini bagi memenuhi sasaran ditetapkan sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam mengeksport hanya minyak kelapa sawit mampan," katanya kepada media pada majlis taklimat MSPO dan sesi dialog bersama penanam sawit Perak di sini hari ini.
Teresa berkata, bagi menggalakkan penanam kelapa sawit di Perak berdaftar MSPO, kerajaan menyediakan bantuan penuh kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO.
Menurutnya, kerajaan juga meningkatkan kadar insentif kos pengauditan MSPO daripada 70 peratus kepada 100 peratus dan memberi insentif baharu kos persediaan MSPO sebanyak 50 peratus bagi estet berkeluasan 40 hingga 1,000 hektar, manakala insentif pekebun kecil tersusun dinaikkan kepada RM55 sehektar daripada RM10 sehektar.
"Selain giat turun padang memberi penerangan mengenai MSPO, kementerian juga akan bertemu dengan menteri besar di setiap negeri bagi meminta mereka membantu melancarkan permohonan ubah syarat tanah diusahakan penanam sawit daripada tanaman lain kepada kelapa sawit dengan segera.
"Sebagai contoh, di Perak sebanyak 15 SPOC daripada 23 SPOC melibatkan bilangan pekebun kecil persendirian seramai 1,830 orang dengan keluasan 4,778 hektar.
"Bagaimanapun, keluasan ini masih sangat rendah iaitu hanya 3.7 peratus daripada jumlah keseluruhan tanaman sawit pekebun kecil persendirian seluas 128,000 hektar di Perak," katanya.
Teresa turut memberi jaminan langkah pengusaha kelapa sawit mendaftarkan pensijilan MSPO tidak akan memberi kesan kepada tindakan percukaian kerajaan terhadap mereka kerana pensijilan itu diibaratkan sebagai lesen membenarkan hasil sawit mereka dieksport ke luar negara sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!