ICETD himpun 197 pembentang
IPOH - Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan dan Pembangunan Guru (ICETD) yang berlangsung buat pertama kali selama tiga hari bermula hari ini menghimpunkan lebih 197 pembentang termasuk dari luar negara.
Bertemakan 'Mengubah Perspektif dan Pendekatan dalam Pendidikan dan Pembangunan Guru', persidangan yang disertai lebih 600 peserta terdiri daripada pendidik dan pelajar antarabangsa dari pelbagai universiti itu menampilkan pembentang antaranya dari New Zealand, Iraq, Jepun, Filipina dan Amerika Syarikat.
Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG), Dr Rusmini Ku Ahmad berkata, ia bagi memberi ruang kepada pendidik dari dalam dan luar negara berkongsi hasil penyelidikan serta inovasi pendidikan.
Menurutnya, memandangkan cabaran pendidikan pada masa kini sangat tinggi, setiap pendidik perlu mengembangkan keupayaan dan potensi mereka agar selari dengan perkembangan pengajaran dan pembelajaran (PdP) abad ke-21 khususnya dalam era revolusi industri 4.0.
"Sebagai sebuah institusi yang melatih bakal-bakal guru, kita memerlukan pendekatan terkini dalam dunia pendidikan. Lihat saja dari segi teknologi, pelajar sendiri sudah jauh lebih mendahului.
"Bagi memastikan tidak ketinggalan, kita perlu lihat apakah amalan-amalan terbaik yang telah dilaksanakan atau sedang dilaksanakan oleh beberapa negara luar ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan berkenaan di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru hari ini.
Beliau berkata, persidangan itu turut menampilkan dua pakar pendidikan iaitu Prof Stephen Dobson dari Universiti Victoria Wellington, New Zealand dan Prof Mushtak Al-Atabi dari Universiti Heriot Watt, kampus Malaysia.
"Mereka akan berkongsi dari aspek penilaian dan pengukuran. Pengalaman luas dimiliki mereka ini akan memberikan kita idea-idea baharu dalam membudayakan teknologi secara optimum," katanya.
Jelasnya, dengan sambutan baik diterima, IPG yang kini mempunyai 27 kampus seluruh negara termasuk di Ipoh akan melaksanakan persidangan seumpama itu dua tahun sekali.
"Bagaimanapun dalam tempoh itu, kita tetap akan adakan kolokium dan perkongsian hasil-hasil kajian secara profesional antara pendidik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!