Konsep wakaf dalam manifesto PRU akan datang
KUALA KUBU BHARU - Inisiatif membangunkan konsep wakaf perlu disenaraikan dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Itu cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh kepada pelajar tahfiz sekiranya ada di antara mereka yang berhasrat menjadi calon pada PRU akan datang.
Fuziah berkata, kerajaan melakar sejarah apabila Sidang Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menurunkan had umur mengundi dan calon bertanding kepada 18 tahun.
Keputusan itu menurutnya membolehkan pelajar yang sedang belajar di universiti ketika ini layak mengundi dan menjadi calon pada PRU15.
"Harapan saya manalah tahu ada anak-anak pelajar tahfiz esok nak jadi calon, nak jadi wakil rakyat, jadi Ahli Parlimen, boleh membawa konsep ini di dalam manifesto anda semua.
"Saya sekarang dalam rangka membangunkan inisiatif untuk mengajak rakyat membangunkan institusi tahfiz melalui dana wakaf.
"Saya harap di masa hadapan, orang ramai boleh berkongsi pahala dengan mewakafkan bangunan untuk sekolah mahad tahfiz," katanya ketika berucap merasmikan Intifal Huffaz Peringkat Kebangsaan dan Ekspo Konvokesyen Darul Quran JAKIM petang tadi.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya dan Pengarah Darul Quran, Dr Nordin Ahmad.
Fuziah berkata, konsep wakaf itu memberi peluang kepada orang ramai melakukan pahala secara berterusan seperti mana di Turki ketika ini yang mewarisi legasi wakaf dari zaman Uthmaniyah.
Menurutnya, masyarakat akan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap institusi tahfiz yang diwakafkan.
"Kalau wakafkan bangunan sama ada dengan satu biji batu-bata akan menjadikan institusi ini (maahad tahfiz) sebagai institusi ummah.
"Bukan sahaja institusi tahfiz tapi saya juga sedang usaha mewujudkan konsep universiti wakaf dan hospital wakaf," katanya.
Dalam pada itu Fuziah berkata, Intifal Huffaz itu merupakan program dwi tahunan sejak 2007 disertai 746 peserta dari 10 kontinjen membabitkan maahad tahfiz seluruh negara yang berkolaborasi dengan Darul Quran.
Penganjuran kali ketujuh diadakan sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jakim kali ke-28 dan dimeriahkan dengan acara penulisan al-Quran 30 Juzuk berasaskan hafazan.
Sebanyak 26 acara dipertandingkan termasuk tilawah dan hafazan al-Quran, debat, pidato dan nasyid selain kejohanan sukan seperti bola sepak, bola jaring serta badminton.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!