Boris Johnson PM baharu Britain

Boris Johnson gantikan Theresa May sebagai PM Britain dan Ketua Parti Konservatif. - Foto AFP
Boris Johnson gantikan Theresa May sebagai PM Britain dan Ketua Parti Konservatif. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Teka-teki siapa bakal pengganti Theresa May sebagai Perdana Menteri Britain akhirnya terjawab dengan kejayaan Boris Johnson mengatasi pencabar tunggal beliau, Setiausaha Luar, Jeremy Hunt.

Bekas Datuk Bandar London itu dengan mudah menewaskan Hunt setelah meraih 66 peratus undian dalam kalangan anggota parti pemerintah, Parti Konservatif hari ini.

Kemenangan Johnson itu diiringi konfrontasi berhubung pelan Brexit antara Brussels dan juga ahli partinya sendiri termasuk ketegangan diplomatik dengan Iran.

Johnson bakal disahkan sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu esok sebaik Theresa May menyerahkan peletakan jawatan beliau secara rasmi kepada Ratu Elizabeth II.

Ia merupakan satu kemenangan besar buat Johnson yang mengidam jawatan tertinggi itu namun beliau mengambil alih tampuk pemerintahan pada saat Britain berdepan pergolakan politik.

Johnson yang mengetuai kempen Brexit pada tahun 2016 berikrar membawa Britain meninggalkan EU menjelang 31 Oktober dengan atau tanpa sebarang perjanjian perpisahan baharu.

Tiga ahli kabinet menolak untuk berkhidmat di bawah Johnson dengan alasan memutuskan hubungan dengan sekutu perdagangan paling rapat dengan Britain tanpa perjanjian baharu adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

Susulan kemenangan itu, Parlimen memerhati sekiranya terdapat pencabar pemimpin baharu Parti Konservatif itu dalam kalangan ahli partinya sendiri yang mampu secara automatik menyekat Johnson daripada menjadi Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya tiada, pelantikan Johnson akan disahkan Ratu Elizabeth II sebelum beliau melangkah masuk ke Downing Street.

Dengan hanya beberapa bulan menjelang tarikh akhir Brexit, Johnson dijangka mengumumkan kabinetnya dan beberapa jawatan tertinggi dalam masa beberapa hari.

Selain berdepan cabaran domestik, Johnson perlu menangani ketegangan dengan Iran susulan kemelut di perairan Teluk membabitkan penahanan kapal Stena Impero di Selat Hormuz pada Jumaat lalu. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!