'Biarlah sejarah hitam lalu jadi pengajaran...'
KUANTAN - Pasangan pengantin mengharapkan rumah tangga dibina buat kali kedua kekal hingga ke akhir hayat, selepas perkahwinan kali pertama dengan pasangan masing-masing musnah.
Eddy Marzuki Rosli, 34, berkata, dia dan isterinya, Norain Ali, 28, tidak mahu episod penceraian dilalui mereka sebelum ini berulang.
Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka pengenalan selama setahun sebagai rakan berakhir dengan ikatan perkahwinan dan mendapat restu anak dan keluarga masing-masing.
Malah, lebih menggembirakan apabila dua anaknya, Nurul Iman Qhairina, 5, dan Nurul Maizatul Zulaikha, 8, sudah dapat menerima Norain sebagai ibu tirinya sejak awal perhubungan mereka.
"Bukan isteri saja yang boleh terima anak-anak saya tapi saya juga menerima Nurliyana Abdullah, 10, (anak tiri) sama seperti anak sendiri tanpa membezakan mereka.
"Saya berharap jodoh kali kedua akan lebih bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat. Biarlah sejarah hitam lalu menjadi pengajaran berguna buat kami," katanya yang kini menetap di Kampung Balok di sini.
Eddy Marzuki antara 10 pasangan pengantin yang menyertai program Majlis Moh Kahwin Vol 5 di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Program berkenaan merupakan anjuran Butik Nuraimanaziz dengan kerjasama Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah.
Sementara itu, Norain berkata, sifat penyayang ditunjukkan Eddy Marzuki membolehkan dia menerima lelaki berkenaan sebagai suaminya.
Katanya, malah kesediaan suami menerima anak tirinya seperti anak kandungannya sendiri membuatkan dirinya kagum dengan keterbukaan Eddy Marzuki.
"Kami dah berjanji mahu bina rumahtangga yang bahagia, saling bekerjasama dan hormat menghormati antara satu sama lain.
"Kehancuran rumah tangga sebelum ini diharap tidak berulang lagi, biarlah ia menjadi sejarah hitam," katanya.
Norain berkata, dia gembira apabila keluarga kedua belah pihak merestui perkahwinannya dan mengharapkan kebahagian kekal ke akhir hayat.
Sementara itu jurucakap penganjur Azneza Aziz berkata, setiap pengantin yang program ini hanya perlu membayar RM3,000 manakala semua kelengkapan, jamuan dan upacara pernikahan diuruskan penganjur.
"Setiap kali program majlis perkahwinan beramai-ramai diadakan sambutan yang diterima begitu menggalakan, ia dapat menjimatkan perbelanjaan.
"Kita akan terus mengadakan Majlis Moh Kahwin Vol 6 pada 7 Disember depan. Ia dijangka menarik penyertaan ramai pasangan dalam dan luar daerah ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!