Selamatkan laporan polis, jangan dibocorkan lagi
KELMARIN kecoh satu Malaysia gara-gara satu laporan polis mengenai kes cabut kondom tular di media sosial. Bermacam-macam reaksi dan ulasan berhubung laporan polis tersebut.
Ada yang meragui kesahihan laporan polis itu, tidak kurang juga yang menjadikannya ‘modal’ membuat kecaman terhadap individu terbabit sehinggalah paling kritikal, ditular pula gambar kononnya itulah individu dalam laporan polis tersebut.
Implikasi sebegitu sudah dijangka. Merak Jalanan tak mahulah ulas lanjut. Polis pun telah mengesahkan laporan itu dan merujuk kes tersebut kepada jabatan agama untuk tindakan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis sahkan terima laporan kes pasangan cabut kondom semasa hubungan intim
Cuma apa yang Merak Jalanan pelik kenapa mudah sangat laporan polis yang dibuat oleh orang awam itu bocor.
Laporan polis dalam kes itu bukan bukti pertama, banyak sangat kes laporan polis bocor dan tular diperdebat oleh ‘polis dan hakim jadian’ di media sosial.
Ia menjadi sebuah perdebatan sia-sia yang tidak membantu siasatan polis sebenar dan pelapor menyelesaikan masalah.
Kebocoran laporan polis yang disengajakan itu perlu dihentikan. Polis Diraja Malaysia harus memberi perhatian serius mengenai ‘kegilaan’ ini.
Kalau perlu ubah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan urusan laporan polis, ubahlah dan jadikan setiap laporan polis yang dibuat sebagai maklumat sulit dan tidak boleh didedahkan!
Budaya membocorkan laporan polis jika berterusan hanya menjejaskan imej dan integriti polis. Masanya sudah tiba untuk bertindak terhadap pelaku dan motif membocornya.
Natijah kebocoran itu cukup besar kepada pelapor malah boleh sampai kepada tahap mengaibkan.
Semua maklumat peribadi tertera dalam setiap laporan polis yang dibuat yang membuka peluang kepada golongan oportunis memanipulasikannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!