Derita salah posisi duduk, angkat beban
Penyakit slipped disc boleh dielakkan menerusi langkah pencegahan awal
ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB
SOALAN 1
DOKTOR, saya sudah lama menghidap slipped disc atau dipanggil prolapsed disc. Saya sering sakit terutama ketika membuat kerja berat dan duduk terlalu lama. Doktor, mengapa begitu mudah penyakit itu 'menyerang' dan apa rawatannya? Adakah selamanya saya akan menderita sakit itu?
- RISAU MAKIN TERUK, NOLIY ISMAIL, 39, BERANANG, NEGERI SEMBILAN
JAWAPAN:
MASYARAKAT sering menganggap sakit belakang itu merupakan slipped disc. Begitu juga setiap kali sakit sendi, ia dianggap sebagai gout.
Puan, sebenarnya tidak semua sakit belakang ialah slipped disc. Ada juga disebabkan otot kejang atau 'koyak' pada otot tulang belakang (muscle strain).
Ia terjadi akibat posisi tubuh berada dalam keadaan tidak betul semasa membuat kerja atau melakukan aktiviti lasak seperti sukan.
Disc ialah pelapik yang terletak antara lapisan tulang belakang berfungsi sebagai penyerap beban dan objek keanjalan pergerakan tulang belakang.
Bentuknya seperti cakera. Di tengahnya terdapat tisu lembut seumpama gel (nucleus pulposus) dan dikelilingi oleh tisu tegang yang dipanggil annulus fibrosis.
Anggota badan itu akan memainkan peranan apabila beban diangkat melalui tulang belakang yang akan menyebabkan tisu lembut nuklues pulposus dalam keadaan tertekan.
Tekanan itu dikawal oleh tisu annulus fibrosis yang bertindak sebagai penyerap kejutan hidraulik yang sangat berkesan.
Namun, sistem tersebut akan menghadapi masalah apabila tisu annulus fibrosis mengalami kecederaan dan tidak dapat menampung nucleus pulposus yang akan terkeluar dari posisinya apabila menghadapi tekanan berat.
Keadaan itu dipanggil sebagai rumpunan urat-urat kegelinciran nucleus pulposus atau slipped disc.
Rawatan
Lazimnya, penyakit slipped disc dialami oleh orang muda dan pertengahan umur. Jarang berlaku dalam kalangan orang yang lanjut usia atau kanak-kanak.
Pesakit akan diserang penyakit itu sama ada sekejap-sekejap atau mengalami kesakitan secara tiba-tiba.
Punca utama berlakunya slipped disc adalah akibat kekurangan maklumat tentang risiko pekerjaan. Pesakit tidak didedahkan dengan cara-cara selamat mengangkat barang.
Pada peringkat permulaan pesakit akan mengalami kesakitan pada pinggang. Ia akan bertambah kuat apabila seseorang itu membongkok badan. Apabila kegelinciran disc semakin kuat menekan urat saraf, kesakitan akan dirasakan dari bawah lutut hingga jari-jari kaki.
Keadaan boleh menjadi serius apabila kegelinciran disc menutup saluran tulang belakang menyebabkan pesakit sukar untuk membuang air kecil dan besar.
Sebaik-baik rawatan adalah melalui pencegahan. Jaga tulang belakang dengan amalan mengangkat barang yang betul. Rawatan terbaik juga dengan amalan penjagaan belakang (back care) bagi mengelak gelinciran disc lebih teruk.
Pesakit turut dirawat secara konservatif seperti diberi ubat penahan sakit. Mereka juga akan diminta berehat dan perlu baring dalam posisi tertentu dan diikuti dengan fisioterapi seperti rawatan haba.
Pembedahan akan dibuat apabila pesakit berhadapan kes kecemasan seperti ketidakupayaan membuang air kecil.
Pesakit OKU inginkan zuriat
SOALAN 2
DOKTOR, saya merupakan orang kelainan upaya atau OKU. Pernah terlibat dalam kemalangan menyebabkan saya lumpuh dari pinggang hingga ke kaki. Masalahnya, saya tidak dikurniakan zuriat sejak berkahwin lapan tahun yang lalu. Ramai mengatakan OKU seperti saya sukar untuk dikurniakan anak. Betulkah kenyataan itu doktor?
- INSAN BUNTU, FITRI WAN AZIZI, 34, SLIM RIVER, PERAK
JAWAPAN:
KELUMPUHAN yang dialami menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang. Keadaan itu menyebabkan pergerakan secara sedar tidak berfungsi termasuk alat kelamin lelaki.
Pesakit harus maklum bahawa kecederaan saraf tunjang akan memberi kesan keupayaan mendapatkan zuriat.
Faktor utama masalah tersebut ialah:
1. Ketidakupayaan ereksi Keadaan berlaku kepada pesakit yang mempunyai kecederaan saraf tunjang sepenuhnya (complete paraplegia), namun pengeluaran sperma pesakit masih normal.
Pun demikian, tidak semua pesakit gagal melakukan ereksi kerana ia bergantung kepada aras kecederaan saraf tunjang atau urat saraf.
Terdapat beberapa kaedah untuk membantu pesakit memperoleh ereksi antaranya bantuan ubat-ubatan (sildenafil atau viagra), implan zakar dan bantuan seksual.
2. Pancutan sperma Pesakit menghadapi masalah untuk mengeluarkan sperma selepas berlakunya ereksi boleh diatasi dengan beberapa cara.
Pertama, menggunakan alatan rangsangan zakar secara getaran atau dikenali sebagai penile vibrator stimulation (PVS).
PVS selamat digunakan berbanding kaedah lain kerana ia menghasilkan bilangan sperma dalam jumlah yang maksimum.
Bagi pesakit yang gagal rangsangan PVS, terdapat kaedah rangsangan melalui aliran elektrik yang mana satu alatan probe dimasukkan dalam usus rektum. Selain itu, terdapat juga urutan prostat yang boleh diamalkan sebagai alternatif.
Pesakit harus sentiasa berfikiran positif untuk mendapatkan zuriat. Ia tidak mustahil dan masih boleh diusahakan.
Profil
Datuk Dr Abdul Halim Yusof merupakan Pakar Ortopedik, Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!