Model pertanian pintar bakal ubah landskap sektor pertanian

Mohamed Azmin melihat teknologi dron yang digunakan Felcra bagi proses pembajaan dan penuaian padi di Pusat Benih Padi Felcra Seberang Perak di Pasir Salak, Perak semalam.
Mohamed Azmin melihat teknologi dron yang digunakan Felcra bagi proses pembajaan dan penuaian padi di Pusat Benih Padi Felcra Seberang Perak di Pasir Salak, Perak semalam.
A
A
A
KERAJAAN berusaha memperluaskan inovasi dan penggunaan teknologi baharu bagi memperkasa serta meningkatkan produktiviti industri pertanian yang mampu meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dengan menggunakan teknologi baharu warga petani tidak perlu lagi membanting tulang.

“Ini adalah pertanian masa hadapan, Smart Farming Precision Agriculture," katanya selepas kan meluangkan masa melawat Pusat Benih Padi Felcra Seberang Perak di Pasir Salak, Perak semalam.

Dalam lawatan kerjanya ke Perak itu, beliau turut meninjau pendekatan baharu proses pembajaan dan penuaian di Felcra Seberang Perak seperti penggunaan teknologi dron bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti tanaman padi.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut menyaksikan upacara penyerahan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Syarikat MATA Aerotech dengan Felcra yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra Berhad Mohd Nazrul Izam Mansor, dan Ketua Eksekutif MATA Aerotech, Wan Azrain Adnan.

Hadir sama, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri dan Pengerusi Felcra Datuk Mohamad Nageeb Abdul Wahab.

MoU berkenaan berlandaskan kerjasama mengintegrasikan teknologi dalam model pertanian pintar yang mampu memperkukuh komitmen Felcra dalam usaha meningkatkan pencapaian organisasi serta menambah baik kualiti hidup warga Felcra. MATA Aerotech ialah sebuah organisasi berteraskan teknologi dron dan robotik kerjasama syarikat Malaysia dan Taiwan iaitu Nexus Union, SWS Capital Berhad serta GEOSAT Aerospace & Technology Inc.

Wan Azrain berkata, langkah Felcra ke arah model pertanian pintar itu mampu menarik perhatian lebih ramai usahawan tani untuk mengorak langkah sama.

“Selain analisa data yang cekap teknologi dron juga mampu membantu menambahbaik prestasi pengurusan ladang, peningkatan hasil, pemetaan yang tepat, penyemburan baja bersasar, penjimatan kos serta mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pada masa yang sama, kita juga mampu menarik minat anak muda Malaysia untuk melibatkan diri di dalam sektor pertanian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.

Menurutnya, model pertanian pintar bakal mengubah landskap sektor pertanian negara.

Penggunaan dron dalam sektor pertanian padi di Taiwan memberi impak positif melibatkan pengurangan racun sehingga 25 peratus, kos tenaga kerja menurun sehingga 30 peratus serta peningkatan hasil tanaman sehingga 10 peratus.
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!