Lulus usul isytihar harta: Satu lagi pencapaian PH Perak
IPOH - Usul pengisytiharan harta melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak termasuk wakil rakyat pembangkang yang diluluskan semalam merupakan satu lagi pencapaian kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia juga menjadi satu kemenangan buat rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 untuk memacu harapan mengembalikan kegemilangan negeri ini.
"Perak mencatat sejarah sebagai negeri pertama meluluskan usul yang menghendaki semua ADUN mengisytiharkan harta mereka dan ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri atau anak dalam Akuan Berkanun.
"Saya percaya, langkah menegakkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan dalam kalangan wakil rakyat ini akan membuka lembaran kepada satu usaha memastikan pentadbiran kerajaan yang bersih dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan diambil itu adalah selari dengan amanat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membina sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat demi rakyat dan bukannya menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mencari kepentingan peribadi dan keluarga.
"Kita sedang membina semula negara ini di bawah semangat Malaysia Baharu. Langkah ini demi perjuangan mewariskan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi akan datang," katanya.
Usul yang dibawa oleh ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu itu diluluskan secara undian suara pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam.
Mengikut usul yang dibawa, semua ADUN Perak hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!