PKR Terengganu ikrar taat setia bersama Anwar

Kenyataan media AMK Terengganu yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Anwar. (Gambar kecil: Azan Ismail)
Kenyataan media AMK Terengganu yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Anwar. (Gambar kecil: Azan Ismail)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu menyatakan ikrar taat setia dan sokongan penuh terhadap Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pengerusinya, Azan Ismail berkata, kesepakatan bersama itu dinyatakan supaya Anwar terus menjadi ketua seterusnya membawa perubahan besar kepada parti dan negara.

"Kami menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh tanpa belah bahagi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami akan terus memberikan komitmen dan berdiri teguh menyokong serta membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Turut disertakan senarai 29 Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pimpinan PKR bersama 17 kepimpinan AMK Terengganu yang menyatakan sokongan terbuka kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua AMK Terengganu, Mohd Huzaifah Md Suhaimi berkata, pihaknya menyokong Anwar untuk terus menerajui parti berkenaan.

"AMK Terengganu menyokong penuh tanpa berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui PKR.

"Kami percaya dengan kepimpinan beliau sebagai presiden yang berjiwa besar dan juga telah membuka ruang seluas-luasnya kepada semua kepimpinan untuk bersatu dan bergerak dalam satu pasukan yang mantap.

Artikel Berkaitan:

"Usaha beliau wajar mendapat sokongan padu seluruh kepimpinan dan anggota parti bagi memastikan parti ini dapat mengharungi saat-saat getir dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, katanya, semua barisan kepimpinan parti diingatkan agar menghormati Anwar dan memberikan kerjasama yang mantap bagi membantu presiden menerajui parti ke tahap yang lebih baik serta membantu beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri kelapan.

Mutakhir ini, hampir kesemua kepimpinan PKR negeri menyatakan pendirian dan sokongan terbuka terhadap presiden parti.

Keputusan itu dibuat berikutan kemelut dalaman parti yang kini kelihatan semakin jelas susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!