Lepaskan jawatan jika gagal laksana tugas
ALOR SETAR - Sekiranya menteri yang diamanahkan menjaga perpaduan gagal menyatupadukan rakyat pelbagai kaum, beliau sewajarnya melepaskan jawatan.
Setiausaha PH Perlis, Syed Araniri Syed Ahmad Al Idrus berkata, peranan yang diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Senator P. Waytha Moorthy dilihat gagal, rentetan beberapa kejadian yang berlaku dalam negara sejak PH memerintah.
Menurutnya, sebagai individu yang diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal perpaduan namun gagal memainkan peranannya, beliau seharusnya digantikan dengan individu lain yang lebih layak.
“Jika beliau yang diberi amanah memelihara perpaduan gagal dan tidak bersikap profesional, lebih baik beliau melepaskan jawatan tersebut,” katanya.
Syed Araniri berkata, menteri berkenaan juga hendaklah seorang yang tidak fanatik kepada mana-mana bangsa mahupun agama.
“Beliau seharusnya berlaku adil dalam semua perkara melibatkan agama dan kaum berbeza. Tidak ada agama yang menyuruh penganutnya menjadi pengganas. Begitu juga tidak ada bangsa yang mahu menjadi rasis atau pelampau,” katanya.
Menurutnya, semua agama juga menolak pelampau agama dan tidak mengiktiraf kewujudan mereka kerana boleh mencetuskan ketegangan dalam negara.
Syed Araniri berkata, kebelakangan ini isu yang menggugat perpaduan nasional kembali hangat diperkatakan, terutama selepas rusuhan kuil di Subang Jaya, Selangor yang mengorbankan nyawa seorang anggota bomba ketika menjalankan tugas.
“Sebelum itu, kecoh himpunan membantah pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Beberapa isu yang menyentuh perkauman dan agama turut dimainkan pihak tertentu,” katanya.
Menurutnya, situasi itu amat membimbangkan sekiranya dibiarkan tanpa kawalan, dibimbangi ada pihak ketiga yang akan mengambil kesempatan memanipulasi keadaan.
“Usaha memupuk keharmonian kaum harus ditingkatkan, jangan pandang mudah kerana ia penentu keamanan dan kesejahteraan hidup terutama negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!