Daging korban tidak harus diberi kepada bukan Islam: Mufti Perak
IPOH - Jabatan Mufti Perak membuat penegasan bahawa daging daripada sembelihan korban tidak harus diberi kepada orang bukan Islam kerana ia merupakan perkara ta'abbudiy (hal ehwal ibadat) yang dihukumkan sebagai sunnah muakkadah (sunat yang sangat dituntut).
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan yang masyhur dalam mazhab Syafie, pandangan para ulama semasa, maslahah umum serta keperluan semasa dalam negeri ini.
Menurut Harussani, kebelakangan ini isu pemberian daging korban kepada bukan Islam hangat dibahaskan di media terutamanya media sosial.
"Hukum pemberian daging daripada sembelihan korban kepada orang bukan Islam adalah tidak harus.
"Perkara ini juga melibatkan penggunaan nas dan dalil malahan fakta sokongan seperti keterangan para ulama terdahulu dan kontemporari serta maslahah semasa menjadi sandaran bagi menguatkan hujah masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, adalah ditegaskan, amalan mengorbankan binatang ternakan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya merupakan ibadat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
"Amalan yang merupakan warisan Nabi Ibrahim AS ini mempunyai hikmah yang sarat dengan kebaikan dunia dan akhirat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!