Pusat 3S Honda bertaraf GBI
IPOH - Honda Malaysia Sdn Bhd mengukuhkan jenamanya menerusi pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) baharu di Bandar Baru Sri Klebang di sini dengan penarafan Indeks Bangunan Hijau (GBI).
Pembukaan bangunan bernilai RM15 juta itu merupakan yang pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan status emas.
Dibina di atas tapak seluas 41,000 kaki persegi, Pusat 3S milik Ban Hoe Seng (Auto) Sdn Bhd itu menyediakan 21 ruang servis yang boleh menampung 3,000 kereta setiap bulan selain kemudahan kafe dan ruang santai keluarga.
Pengerusi Ban Hoe Seng (Auto) Sdn Bhd, Datuk Lim Si Boon berkata, projek bangunan itu dimulakan sejak dua tahun lalu bercirikan mesra alam peringkat tinggi yang memaksimumkan kecekapan sumber dan meminimumkan penggunaan sisa, tenaga dan air.
"Selepas lebih daripada 62 tahun sebagai pengedar Honda di negara ini, kami amat bangga kerana dapat merealisasikan pembinaan bangunan yang moden, berteknologi baru, namun dalam masa sama dapat mengurangkan penggunaan tenaga.
"Ia bukan satu pelaburan semata-mata untuk kepuasan perkhidmatan pelanggan, tetapi sumbangan kita ke arah masa depan yang lebih lestari dan mampan," katanya.
Perasmian bangunan itu disempurnakan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd, Toichi Ishiyama semalam.
Hadir sama, Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sdn Bhd, Sarly Adle Sarkum dan Pengarah Ban Hoe Seng (Auto) Sdn Bhd, Kym Looe.
Antara ciri operasi di pusat berkenaan adalah pemasangan 115 solar panel pada bahagian bumbung, suis automatik pasang dan padam lampu mengikut cahaya matahari, kawalan suhu menerusi sistem tata udara (HVAC) serta dinding hijau sebagai sistem pengudaraan.
Pembukaan Pusat 3S itu menjadikan Ban Hoe Seng (Auto) Sdn Bhd memperluaskan perniagaannya di dua lokasi di Ipoh, satu daripadanya merupakan bilik pameran di Jalan Raja Permaisuri Bainun (Jalan Kampar).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!