FAMA cadang wujudkan Bandar Harumanis Malaysia di Perlis
KANGAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang mewujudkan Bandar Harumanis Malaysia di Perlis.
Pengerusinya, Ishak Ismail berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan namun sekiranya menjadi kenyataan ia boleh membantu ke arah meningkatkan pendapatan pengusaha mempelam harumanis dalam tempoh jangka panjang.
“Sebelum ini saya ada sebut nak jadikan Raub sebagai Bandar Durian Malaysia setelah kita isytiharkan Bandar Madu di Kuala Nerang, Kedah yang terkenal dengan madu tualang. Perlis pula negeri yang kaya dengan harumanis," katanya.
Beliau berkata usaha sedang dibuat untuk meningkatkan kuantiti pengeluaran harumanis selain mengatasi masalah berkaitan penyakit melibatkan tanaman itu.
Ishak ditemui pemberita selepas perasmian Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan peringkat sekolah Perlis yang dirasmikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sini hari ini. Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah orang ramai terutama generasi muda perlu melebihkan pengambilan buah-buahan tempatan kerana ia baik untuk kesihatan selain boleh membantu menyumbang kepada ekonomi negara.
Dalam pada itu, Ishak berkata pengusaha membekalkan lebih RM1.2 juta harumanis kepada pembeli termasuk industri perhotelan setakat ini bagi 2019.
Menurutnya, kajian juga akan dibuat untuk memasarkan produk itu ke negara Timur Tengah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!