'Kalau lambat, mungkin saya mangsa ke 16'
GUA MUSANG - 'Kalau saya lambat ke hospital untuk mendapatkan rawatan, mungkin saya menjadi mangsa ke 16 yang meninggal dunia dalam kes Kuala Koh," kata Jamil Hindi.
Jamil, 37, dari Kampung Kuala Koh berkata, ketika kematian rakan sekampungnya, Puja Jong, 22, pada 7 Jun lalu, dia sedang menderita sakit di khemah penempatan di dalam hutan.
Katanya, ketika itu, dia hanya mampu terbaring kerana mengalami kesakitan di bahagian kepala, otak, badan dan mata.
"Saya melihat sendiri kematian Puja dan saya melihat polis membawa mayatnya keluar dari kawasan khemah. Ketika itu, saya rasakan nasib saya akan lebih kurang sama macam Puja.
"Namun, tindakan segera agensi kerajaan membawa saya ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan rawatan di Wad Wabak, menyelamatkan saya dari terus menderita sakit.
"Lebih sebulan berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Taman Etnobotani, akhirnya saya dibenarkan pulang bersama pesakit yang lain," katanya.
Jamil merupakan salah seorang daripada 173 orang asli suku Bateq Kampung Kuala Koh yang dikuarantin di PPS selepas disahkan menghidap wabak demam campak.
Menurut Jamil, sepanjang berada di PPS, mereka semua diberi kesedaran serta pemahaman mengenai tahap kebersihan.
"Pengalaman di sana akan digunakan di kampung ini kerana sebagai mangsa iaitu pesakit, saya mengalaminya dan merasakan kesihatan itu amat besar nilainya," katanya.
Semalam, orang asli dihantar pulang ke kampung mereka menerusi konvoi lapan buah lori dan enam pacuan empat roda yang diketuai peronda polis dari Ibu Pejabat Daerah Polis Gua Musang.
Selain polis, proses penghantaran itu melibatkan agensi seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
Sementara itu, Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, kesemua orang asli Kuala Koh kini berada di kampung masing-masing dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!