RM360,000 selenggara terminal Kuantan

Kerja-kerja pembersihan dilaksanakan petugas mengikut dua syif, pagi dan petang.
Kerja-kerja pembersihan dilaksanakan petugas mengikut dua syif, pagi dan petang.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membelanjakan RM360,000 bagi tujuan pembersihan, penyelenggaraan, baik pulih tandas dan eskalator di Terminal Sentral Kuantan (TSK) bagi keselesaan pengguna.

Pegawai Perhubungan Awam MPK, Norkamawati Kamal berkata, menerusi dana yang diperuntukkan, MPK komited menangani cabaran pengurusan dan penyelenggaraan terminal itu dengan menyenaraikan inisiatif berterusan.

Menurutnya, ini termasuk kerja-kerja pembersihan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam melibatkan petugas pembersihan, mop, tiket tandas dan kutipan sampah.

"Daripada jumlah itu MPK memperuntukkan RM80,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan penyaman udara yang telah siap sepenuhnya dan meluluskan lagi RM80,000 untuk membaik pulih tandas A di tingkat bawah dan tandas B di tingkat atas. Kerja-kerja baik pulih akan bermula Ogos ini.

TSK akan menjalani proses penyelenggaraan eskalator dengan peruntukan RM200,000.
TSK akan menjalani proses penyelenggaraan eskalator dengan peruntukan RM200,000.

"Peruntukan bagi membaik pulih eskalator melalui Ahli Parlimen Indera Mahkota berjumlah RM200,000 pula kini dalam fasa terakhir dan akan dilaksanakan segera sebaik sahaja peruntukan diluluskan. Selain itu, penggantian karpet surau akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norkamawati berkata, walaupun banyak pihak merasakan tanggungjawab kebersihan tempat awam seperti TSK terletak mutlak di bahu MPK, namun kebersihan awam dapat dijaga dan dipelihara melalui komitmen semua pihak.

"Sikap individualistik dan tiada kesedaran sivik terhadap kebersihan awam seperti membuang sampah merata-rata, membuang tuala, lampin pakai buang ke dalam mangkuk tandas serta vandalisme perlu dikikis jika ingin melihat kemudahan yang disediakan sentiasa terjaga dan berfungsi dengan sempurna.

Artikel Berkaitan:

"Kerja-kerja membaik pulih menelan belanja yang besar dan mengambil masa untuk mendapatkan peruntukan. Akibatnya pengguna yang menanggung ketidakselesaan. Pengunjung dan orang awam diminta bersama-sama memelihara tempat awam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!