Antara kuman dalam air, 'gajah' dalam bilik hotel
KUALA LUMPUR - Bekas ahli Bersatu, Anina Saadudin secara sinis membuat perbandingan cara kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangani dua kes yang menggemparkan negara ini baru-baru ini iaitu isu air dan video intim.
Bahkan menurut Anina yang juga Pengasas Empirical Malaysia, dua isu terbabit memaksa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador campur tangan dan memberi pandangan.
Katanya, dalam kes masalah air baru-baru ini kerajaan boleh mengesan elemen pencemaran di Sungai Selangor dalam masa sehari sahaja.
"Pagi hari Isnin, kerajaan PH salahkan syarikat lombong milik kerajaan Selangor sebagai pensabotaj. Petang hari Isnin juga, kerajaan PH salahkan pemancing pula.
"Rakyat kagum dengan kecekapan pihak polis yang berjaya mengesan elemen pencemaran dalam air dalam tempoh hanya sehari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, rakyat pelik bagaimana selepas lebih sebulan kerajaan PH dan polis masih gagal mengesan pelaku yang saiznya jauh lebih besar daripada kuman di dalam kes air.
"Rakyat hairan kenapa 'gajah' dalam bilik hotel yang terpampang di dalam video gagal dikenalpasti walau sudah lebih sebulan berlalu?
"Persoalannya, Haziq (Muhammad Haziq Abdul Aziz) telah mengaku bahawa beliau individu yang terlibat dalam video tersebut dan disertai dengan bukti video, namun Haziq tidak disiasat atau didakwa kerana sodomi," katanya.
Anina yang pernah menjadi ahli UMNO turut mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menegaskan tidak akan membiarkan dirinya dipergunakan untuk menjatuhkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Persoalan berikutnya, siapakah pula yang mempergunakan Tun Mahathir untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim (Datuk Seri) pada tahun 1997?
"Adakah ketika itu Tun Mahathir membiarkan dirinya mempergunakan dirinya sendiri untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim?
"Saya fikir ini bukan soalan politik tetapi soalan tentang kebenaran. Ia bertentangan dengan agama dan budaya sosial masyarakat Malaysia," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!