Pelayan restoran mengaku tak salah abai anak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pelayan restoran makanan segera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membiarkan seorang anak perempuannya berusia tiga tahun tanpa sebarang pengawasan di rumah, pada bulan lepas.

Ibu tunggal kepada dua anak itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohaitul Akma Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, wanita berumur 27 tahun itu didakwa membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan yang sepatutnya di sebuah apartment di Jalan Langkawi, Setapak di sini sekitar Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(c) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, tertuduh yang memakai baju berwarna hitam dan putih kelihatan menangis teresak-esak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan menawarkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia tidak mempunyai penjamin.

Mahkamah tidak menetapkan wang jaminan dan 26 Ogos ditetapkan untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh berhubung dengan mangsa sehingga kes selesai.

Dipercayai, jiran tertuduh membuat laporan polis berhubung kes berkenaan selepas isterinya yang juga pengasuh kepada mangsa melihat kesan-kesan lebam pada kaki dan badan mangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!