Keluarga pengedar dadah warga Thailand dicekup
PASIR MAS - Gaya hidup mewah dengan menyewa sebuah banglo dan menggunakan kereta Toyota Vellfire menjadi modus operandi sebuah keluarga warga Thailand untuk menyembunyikan aktiviti pengedaran dadah daripada pengetahuan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, kegiatan haram pasangan suami isteri serta anak perempuannya yang mengandung empat bulan itu terbongkar selepas mereka dicekup polis dalam serbuan di Kampung Banggol Jering, Apam dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dalam serbuan jam 2 pagi itu pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM151,000 yang dipercayai hasil jualan dadah.
“Kita turut merampas sepucuk pistol jenis Walther Col.9 milimeter yang di dalamnya berisi tujuh butir peluru hidup.
“Selain itu, sebanyak 40 butir peluru hidup turut dirampas, dadah jenis syabu (0.5 gram) dan 16 biji eramin 5,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan yang berusia 39 tahun itu mengaku sudah terlibat dengan pengedaran dadah jenis ganja sejak tiga tahun lalu.
"Bagaimanapun suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan haram itu awal tahun ini.
“Suspek juga mengaku mendapatkan dadah dari selatan Thailand yang kemudian dipasarkan untuk kawasan Kuala Lumpur,” katanya.
Abdullah berkata, saringan air kencing ke atas suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.
"Isteri suspek yang berusia 37 tahun dan anaknya 18 tahun bagaimana pun negatif dadah selepas ujian air kencing dilakukan ke atas mereka.
“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa keluarga ini mempunyai hubungan dengan sindiket pengedaran dadah yang lain.
“Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui lebih lanjut berhubung perkara itu,” katanya.
Abdullah berkata, kesemua suspek direman bermula hari ini sehingga 29 Julai.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita turut rampas kereta jenis Honda CRV dan Perodua Kelisa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!