Ibu saudara cari anak saudara hilang

Norma menunjukkan gambar anak saudaranya yang hilang sejak Sabtu lepas. - Gambar kecil: TENGKU AHMAD HIRZAN
Norma menunjukkan gambar anak saudaranya yang hilang sejak Sabtu lepas. - Gambar kecil: TENGKU AHMAD HIRZAN
A
A
A

BESUT - Seorang calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jertih di sini dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Kehilangan pelajar tingkatan tiga, Tengku Ahmad Hirzan Tengku Husin, 15, disedari ibu saudaranya, Norma Jusoh, 52, apabila remaja tersebut tidak pulang ke rumahnya pada hari berkenaan di Kampung Alor Lintah.

Menurut Norma, anak saudaranya tinggal bersama sejak dua tahun lalu selepas ibunya, Tengku Ahmad Hirzan meninggal dunia.

“Dia anak yatim piatu, bapanya meninggal kemalangan jalan raya ketika dia berusia lima tahun dan ibunya pula meninggal akibat kanser payu dara,” katanya.

Norma berkata, dia yang pulang berniaga di Kampung Pak Da Malik pada petang Sabtu lepas mendapati Tengku Ahmad Hirzan tidak ada di rumah.

Menurutnya, sangkanya remaja terbabit hanya pergi bermain bola atau berjalan di sekitar kampung dengan menunggang motosikal.

“Namun selepas dia tidak pulang pada hari berkenaan menyebabkan keluarga risau dan mencarinya di merata tempat termasuk menemui kawan dan saudara mara tetapi gagal menemuinya.

“Sebelum itu, dia ada menghantar menerusi WhatsApp keluarga memberitahu mahu pergi memancing di samping memuat naik gambar Masjid Hadhari, Jertih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Norma berkata lagi, berdasarkan petunjuk itu keluarga telah menemui motosikal dinaiki Tengku Ahmad Hirzan berada di taman rekreasi Sungai Jertih yang terletak bertentangan dengan Masjid Hadhari.

Menurutnya, bagaimanapun remaja itu gagal dikesan menyebabkan dia membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja pada hari Ahad untuk tindakan lanjut.

“Sehingga sekarang kami tidak mempunyai sebarang berita mengenainya dan kami amat bimbang apatah lagi dia keluar sehelai sepinggang selepas sehelai baju yang dibawanya dijumpai atas motornya.

“Hendak kata dia terjatuh sungai tetapi telefon bimbitnya didapati aktif seperti didapati dia melihat WhatsApp dan ketika dihubungi nada deringnya berbunyi tetapi tidak menjawab telefon,” katanya.

Sehubungan itu Norma merayu sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Tengku Ahmad Hirzan agar menghubungi anaknya Haflan Aliaz di talian 013-9388533 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan usaha mengesan mangsa sedang dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!