Lagi kemalangan taman tema, remaja maut jatuh ‘Kora-Kora’
JAWA TENGAH - Empat remaja terjatuh ketika bermain permainan digelar 'kora-kora', salah satu permainan tunggang berpusing 360 darjah di Pasar Malam Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia malam tadi.
Menerusi laporan Kompas.com, kejadian itu mengakibatkan salah seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera.
Remaja lelaki tersebut, Taufik Mailano, 15, telah dituntut oleh ahli keluarganya sementara yang lain kini sedang menjalani rawatan di Rumah Sakit Islam Pekajangan.
Saksi hanya dikenali sebagai Tika, 42, berkata, kora-kora berjalan seperti biasanya namun secara tiba-tiba terdengar suara jeritan kuat dan empat orang mangsa sudah berada di tanah.
Memetik Sindonews pula, ayah mangsa korban Wargono berkata, anaknya minta izin untuk keluar bersama rakan-rakannya.
“Anak saya meminta izin untuk keluar bersama rakan-rakannya. Tidak lama selepas itu, saya dikejutkan dengan berita kematian anak akibat insiden ini,” katanya.
Salah seorang mangsa yang selamat juga menceritakan pengalamannya terbabit dalam kejadian itu.
“Kami naik berlima dan memilih untuk duduk di bahagian paling hujung. Sebelum insiden, saya dapat rasakan kora-kora sedikit bergoyang. Tiba-tiba kami terjatuh dan saya tidak ingat apa-apa lagi mengenai kejadian selepas itu,” jelasnya.
Pihak polis Pekalongan pula belum mahu mengeluarkan sebarang kenyataan kerana masih lagi menyiasat kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!