Video intim: Rakyat kecewa kenyataan Tun M, kata Hamidah
IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melihat isu video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet baru-baru ini hanya daripada sudut politik dan mengenepikan isu moral.
Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata, kenyataan Dr Mahathir itu amat mengecewakan rakyat.
Pihaknya mempersoalkan pendirian Dr Mahathir yang hanya menyatakan agama Islam melarang perbuatan sengaja mengintip tanpa menekankan larangan agama mengenai perbuatan 'semburit' yang dilaknati ALLAH SWT.
"Sepatutnya perbuatan laknat itulah yang harus diperangi tidak mengira siapa terlibat sama ada rakyat biasa atau ahli politik.
"Kenapa dalam kes membabitkan (Pengerusi PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu, Dr Mahathir amat menitikberatkan soal moral dan bertindak memecat beliau sebelum mahkamah memutuskan Anwar bersalah?" katanya kepada media dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hamidah berkata, rakyat juga amat kecewa apabila pasangan Haziq di dalam video intim itu tidak dapat dikenal pasti polis.
"Namun sebaliknya polis sudah menahan reman hampir 10 orang bagi menyiasat dalang penyebaran video itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!