Skim 'rent to own' dilancar September ini

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta beberapa bank kini dalam proses akhir persiapan bagi memperkenalkan skim baharu pembiayaan pemilikan kediaman 'rent-to-own' yang akan dilancarkan pada bulan September ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, skim buat rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan di bawah RM3,000 untuk memiliki kediaman itu menyaksikan pembeli tidak perlu membayar deposit, sebaliknya hanya terus bayar sewa.

“Selepas lima tahun kita akan semak status kewangan sama ada mereka layak beli rumah atau tidak. Skim ini ditawarkan kepada mereka khususnya orang muda yang berpendapatan bawah RM3,000 dan rumah bernilai RM300,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat perjanjian jual beli (S&P) kepada 16 pemilik rumah bagi projek Harmoni di Semenyih di bawah skim FundMyHome+DepositKu, di sini hari ini.

Katanya, budaya mengalakkan orang muda menjadi pemilik harta perlu bermula dari sekarang supaya mereka dapat memiliki sesuatu yang akan mendapat faedah jangka panjang.

Justeru, katanya kelonggaran diberikan kepada individu yang disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) termasuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya mereka dapat memiliki rumah pertama.

Zuraida berkata, bank akan membuat keputusan sama ada peminjam PTPTN layak menerima pembiayaan rumah atau tidak kerana penyenaraian peminjam PTPTN dalam CCRIS merupakan 'Blanket Policy' yang tidak berdasarkan situasi sebenar pihak terlibat.

"Contohnya seseorang yang baru keluar universiti, kebolehpercayaan kredit mereka adalah tinggi kerana dia tiada pinjaman atau komitmen. Jadi CCRIS adalah ‘blanket policy’ dan tidak berdasarkan pada kebolehpercayaan kredit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zuraida berkata, FundMyHome skim adalah satu alternatif yang memberi peluang kepada rakyat memiliki kediaman dengan hanya membayar 20 peratus daripada harga rumah akan diperluaskan dalam projek lain di seluruh negara.

Buat masa ini, seramai 50 orang telah menerima manfaat daripada skim itu manakala 300 individu telah memohon di bawah skim FundMyHome.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!