Pengunjung biadab bawa anjing masuk restoran makanan segera
SEBERANG JAYA - Tindakan seorang wanita membawa anjing peliharaan ke sebuah restoran makanan segera di sini malam semalam, mengundang rasa tidak selesa pelanggan lain, terutamanya yang beragama Islam.
Pekerja swasta, Anuar Omar, 41, yang menyaksikan kejadian itu berkata, ketika kejadian jam 9.30 malam itu berkata, dia melihat wanita berumur lingkungan 20-an keluar dari kereta dan terus memasuki restoran terbabit bersama anjingnya.
Katanya, dia yang berada di barisan pandu lalu di restoran berkenaan bertindak menegur wanita itu.
“Saya tidak boleh keluar kereta sebab ramai pelanggan yang menggunakan perkhidmatan pandu lalu. Saya hanya menegur tetapi wanita itu seperti terpinga-pinga.
“Dia duduk di bahagian tepi restoran bersama anjingnya. Hanya pemandu kereta yang melalui kawasan pandu lalu yang akan perasan dia bersama anjingnya. Saya juga mengambil gambarnya sebagai bukti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Anuar berkata, dia kemudiannya memberitahu kepada pekerja restoran itu ketika hendak membuat bayaran.
“Saya tunjukkan gambar itu dan dengan pantas kakitangan restoran mengambil tindakan. Saya lihat tempat yang diduduki wanita itu telah ditutup,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba di rumah, dia mendapat panggilan daripada pihak restoran yang memaklumkan meja dan kerusi berkenaan sudah disamak.
Katanya, beliau juga memuat naik gambar terbabit ke dalam akaun sosial Facebook miliknya, namun tidak menyangka ia akan tular.
“Niat saya hanya untuk memaklumkan kenalan berhubung kejadian yang mengejutkan itu, di samping mengambil tindakan bijak apabila berdepan situasi berkenaan.
“Ia juga boleh dijadikan pengajaran buat semua. Kita perlu jaga sensitiviti sesama kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!