Pokok tumbang, tiga laluan terjejas

Anggota bomba membersihkan pokok yang tumbang di laluan Jerantut-Benta petang tadi.
Anggota bomba membersihkan pokok yang tumbang di laluan Jerantut-Benta petang tadi.
A
A
A

JERANTUT - Tiga laluan utama di daerah ini terjejas akibat pokok tumbang di atas jalan raya setelah ribut dan hujan lebat di sini petang tadi.

Tiga lokasi yang terlibat adalah Jalan Pulau Tawar - Bukit Nikmat berhampiran Makam Mat Kilau, Jalan Jerantut - Benta di Kampung Lata Kasah dan KM1 Jalan Jerantut - Maran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Zullkifli Mohamad Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.55 petang mengenai sebatang pokok tumbang di KM1 Jalan Jerantut-Maran.

Menurutnya, sebatang pokok telah tumbang di atas jalan raya menghala ke bandar Jerantut.

"Pihak kami telah menjalankan kerja-kerja pembersihan agar laluan boleh dilalui semula.

"Laluan itu terpaksa ditutup sementara waktu dan tidak ada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.

Tambahnya selain lokasi tersebut, insiden sama menyusul di Kampung Lata Kasah di sini apabila sebatang pokok turut tumbang kira-kira jam 7.12 malam tadi.

"Seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian dan turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela Damak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ribut dan hujan lebat petang tadi mengakibatkan pokok tumbang di beberapa tempat di daerah ini.
Ribut dan hujan lebat petang tadi mengakibatkan pokok tumbang di beberapa tempat di daerah ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Mohd Rozi Rozuki memberitahu, sebatang pokok tumbang berhampiran Makam Mat Kilau.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 petang dan penduduk kampung melakukan gotong-royong memotong batang pokok besar itu bagi membolehkan kenderaan melalui kawasan itu dengan selamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!