Polis tunggu laporan SPRM sebelum ambil tindakan terhadap anggota
KUALA LUMPUR - Polis Selangor masih menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut ke atas anggotanya yang ditahan kerana disyaki terlibat rasuah.
Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata selepas pihaknya menerima laporan itu, tindakan seterusnya akan dilakukan ke atas anggota polis terbabit.
"Setakat ini kita masih belum diberitahu sama ada benar mereka terbabit rasuah atau tidak. Tunggu (laporan) siasatan SPRM terlebih dahulu," katanya kepada Bernama, hari ini.
Media tempatan sebelum ini, melaporkan seorang hakim Mahkamah Sesyen di Selangor, dan seorang timbalan pendakwa raya ditahan SPRM disyaki membantu membebaskan sembilan pendatang tanpa izin yang sepatutnya dihantar ke depot tahanan imigresen.
Turut ditahan ialah seorang peguam dan enam anggota polis bertugas sebagai pegawai penyiasat jenayah di daerah Hulu Selangor dan anggota polis pengiring lokap mahkamah.
Bagaimanapun, kesemua anggota polis itu dilepaskan dengan jaminan selepas direman lima hari bagi membantu siasatan. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!