Loji Langat 2 atasi masalah air

Pirakarapan
Pirakarapan
A
A
A

MASALAH gangguan air yang kerap dialami penduduk Lembah Klang sememangnya membebankan mereka.

Tahun ini sahaja sudah beberapa kali loji air di Lembah Klang ditutup kerana pencemaran atau masalah teknikal yang dihadapi.

Apakah punca dan masalah sehingga isu itu masih berlaku di Lembah Klang yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai.

Bagi menjelaskan masalah tersebut, Sinar Harian menemu bual Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piapakaran.

SINAR HARIAN: Mengapa isu air sering berlaku di Lembah Klang?

PIAPAKARAN: Margin simpanan air di Lembah Klang ketika ini hanya sekitar tiga hingga lima peratus, maksudnya ia tidak cukup untuk tampung waktu kecemasan.

Apabila margin rendah, berlaku situasi seperti sekarang. Bekalan air terputus dan bekalan air lambat untuk disambung semula menyebabkan pengguna tidak dapat air dalam tempoh yang lama.

Ditambah pula dengan kejadian paip bocor akibat tekanan tinggi dan sebagainya turut menjadi punca gangguan air berlaku di sesetengah kawasan.

Artikel Berkaitan:

Apakah tindakan yang sepatutnya diambil kerajaan negeri dan Persekutuan bagi menangani isu ini?

PIAPAKARAN: Penyelesaian yang pertama, margin simpanan air perlu ditingkatkan kepada 15 peratus sekurang-kurangnya bagi menampung air untuk penduduk pada waktu kecemasan.

Simpanan yang banyak membolehkan air disalurkan dengan segera kepada pengguna dan proses pemulihan akan berjalan dengan segera.

Loji Rawatan Air Langat 2 yang dijangka siap pada 2022 diharap menjadi jalan penyelesaian untuk meningkatkan margin simpanan tersebut.

Selain itu, kerajaan perlu tegas mengenakan tindakan kepada kilang-kilang haram yang mungkin menjadi punca pencemaran dalam sungai yang menyalurkan air terawat kepada pengguna.

Mengapakah Loji Rawatan Air Langat 2 mengambil masa yang lama untuk disiapkan?

PIAPAKARAN: Loji Rawatan Air Langat 2 memang sudah hampir siap tetapi sistem paip untuk menyalurkan air bersih kepada pengguna belum disediakan menyebabkan ia ditunda kepada 2022.

Kelewatan itu juga menyebabkan pengguna di Lembah Klang lewat memperoleh bekalan air semula jika berlaku kebocoran paip atau pencemaran di sungai air terawat.

Ketika ini Loji Rawatan Air Sungai Selangor adalah antara loji terbesar yang menyalurkan 60 peratus air kepada penduduk sekitar Selangor.Maka apabila sungainya terjejas, banyak kawasan akan terlibat sama dengan gangguan bekalan air.

Adakah gangguan air yang berlaku di Lembah Klang akibat daripada cubaan sabotaj?

PIAPAKARAN: Perkara itu sama ada sabotaj atau tidak, serahkan kepada polis dan agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan. Jika benar salah, pihak berkuasa perlu menangkap pihak yang terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!