Hantu air berpindah ke Selangor
MEMANG sesuatu yang membimbangkan – sebenarnya mengerikan! – bahawa ada pihak tidak bertanggungjawab mensabotaj bekalan air di Selangor.
Menurut polis, seperti yang dilaporkan media, sebanyak 100 liter minyak diesel ditumpahkan untuk mencemarkan air di negeri termaju itu.
Kebimbangan umum ialah sekiranya diesel boleh dengan mudah dicurahkan dalam takungan, apakah tidak mungkin bahan-bahan lain yang lebih berbahaya juga akan mengotorkan air kita?
Apa akan terjadi sekiranya satu hari nanti ada perbuatan khianat yang lebih serius, misalnya dengan mencurahkan racun ke dalam bekalan air minuman kita?
Bayangkan sekiranya kita semua – termasuk kanak-kanak – minum air beracun. Sabotaj seperti ini memang mengerikan dan mungkin berulang.
Hampir seminggu setelah sabotaj yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan terlibat, pihak berkuasa masih belum menangkap pengkhianat tersebut.
Kalau sudah diketahui ada sabotaj, carilah segera si pengkhianat supaya sabotaj yang lebih teruk dan memudaratkan dapat dielakkan.
Segalanya bermula apabila pada 12 Julai lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat laporan polis mengenai dua kejadian pencemaran terhadap sumber air mentah di Sungai Selangor.
Pencemaran tersebut mengakibatkan penutupan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang.
Penutupan tersebut menyebabkan gangguan bekalan air kepada lima juta pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Alangkah peritnya kehidupan apabila air sebagai sumber terpenting sering terganggu bekalan.
Menurut polis, ada dua tiga orang memancing di sungai berhampiran loji. Petugas di loji berkenaan telah meminta mereka memancing di tempat lain, tetapi tidak dipedulikan.
Hanya setelah beberapa kali didesak, barulah pemancing berkenaan beredar. Kemudian barulah dikesan ada tumpahan diesel di loji berkenaan.
Polis tidak mengesahkan, tetapi tidak pula menolak kemungkinan bahawa limpahan diesel tersebut adalah angkara pemancing berkenaan.
Polis menganggap sabotaj bekalan air adalah satu jenayah yang serius dan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang paling keras terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan pihaknya akan menangkap suspek yang berkenaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Kami akan gunakan apa sahaja undang-undang paling serius... (suspek) boleh ditangkap di bawah Sosma dan didakwa di bawah undang-undang paling serius,” katanya.
Ketegasan Abdul Hamid dalam isu air di Selangor ini memang melegakan orang ramai, tetapi selagi pensabotaj @ pengkhianat belum ditangkap dan dihukum, kebimbangan masih terus menghantui umum.
Lebih-lebih lagi pencemaran sungai terjadi bukan sahaja di Selangor malah di negeri lain di seluruh negara. Semua orang tahu sejak sekian lama sungai kita telah dikotori oleh 1,001 macam bahan berbahaya.
Penebangan hutan yang tidak terkawal, penarahan bukit yang tidak mengikut peraturan dan sekian banyak projek pembangunan yang tidak cakna alam adalah antara penyumbang pencemaran sungai.
Telah terbukti ada pihak berkuasa dan agensi-agensi berkenaan sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga, macam tidak tahu apa-apa, pada hal beribu hektar hutan kita diteroka secara haram.
Pelik, beratus hektar hutan ditebang pada siang hari, balak diangkut secara haram di depan mata, tetapi pihak berkuasa tidak nampak. Bukan mata, tetapi hatinya yang buta!
Sebelum kes Sungai Selangor dicemari, baru beberapa bulan lalu, Sungai Kim-Kim di Johor juga dicemari mengakibatkan beratus sekolah terpaksa ditutup, beribu murid terjejas kesihatan.
Sungai berkenaan disahkan tercemar oleh sisa-sisa toksik angkara beratus kilang – termasuk yang haram – beroperasi di kawasan berkenaan.Seperti biasa apabila terjadi kecelakaan pihak berkuasa akan mengeluarkan kenyataan berdegar-degar untuk mengambil tindakan tegas dan menjejaki suspek hingga ke lubang cacing.
Dalam kes di Johor, setakat ini hanya dua pemilik kilang yang diambil tindakan, yang lain selamat sebab pihak berkuasa gagal mengesan ke lubang cacing dan hanya dapat tahi cacing.
Harap ketegasan pihak berkuasa betul-betul terjadi di Selangor. Tangkap cacing, bukan hanya cuci tahi cacing!
* Datuk Abdul Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!