Pemuda UMNO Kelantan kesal PH lepas tangan isu hina nabi
PASIR MAS - Pemuda UMNO Kelantan kesal dengan tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat mengamalkan sikap 'lepas tangan' dalam menangani isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Ketuanya, Noor Hariri Mohammed Noor berkata, sikap itu dapat dilihat apabila tiada sebarang tindakan tegas dikenakan ke atas pelaku sekali gus menyebabkan kes itu terus berulang.
"Terbaharu, sebuah akaun laman sosial Facebook menggunakan nama Wendy Loong telah memuat naik gambar bersifat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
"Gambar itu telah dikongsi ke dalam sebuah kumpulan FB bernama 'Kiub Batu Itu Berhala'," katanya.
Menurutnya, tindakan itu dilihat satu bentuk provokasi yang cuba dicetuskan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama di negara ini.
Katanya, justeru Pemuda UMNO Kelantan bersama pimpinan Bahagian Pasir Mas telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas malam tadi.
Noor Hariri berkata, turut serta ketika laporan itu dibuat ialah Ketua Dewan Pemuda Pas Pasir Mas, Mohd Fadhil Mokhtar.
"Kami mendesak supaya tindakan setimpal diambil kepada pelaku supaya tidak mengulangi kesalahan itu pada masa hadapan.
"Selain itu supaya ia menjadi pengajaran kepada masyarakat agar takut untuk berbuat demikian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!