MUSA janji selesaikan gaji pemain
MELAKA - Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji para pemainnya yang berjumlah hampir RM3 juta, selewat-lewatnya Ogos ini.
Presidennya, Adly Zahari berkata masalah tunggakan itu melibatkan tempoh tiga bulan iaitu sejak Mei namun pihak persatuan akan membayar gaji untuk sebulan terlebih dahulu kepada pemain-pemainnya pada hujung bulan ini.
Ketua Menteri Melaka itu mengakui, terdapat sedikit masalah berikutan ada penaja yang masih belum menyelesaikan komitmen tajaan sehingga menyebabkan bayaran gaji pemain tertangguh dan tidak dapat dijelaskan.
"Sebenarnya jika mengikut kepada jumlah tajaan ianya cukup untuk membiayai gaji dan tidak sepatutnya berbangkit namun ada sebilangan penaja yang gagal memenuhi komitmen menyebabkan perkara ini berlaku.
"Bagaimanapun pihak persatuan akan berusaha menyelesaikan isu ini dengan pihak penaja supaya mereka dapat memenuhi janji dan daripada itu gaji pemain dapat dibayar dalam tempoh yang ditetapkan selain kebajikan pemain dapat dijaga," katanya pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.
Adly berkata, persatuan membelanjakan gaji berjumlah kira-kira RM1 juta setiap bulan dan pembayaran gaji pemain tidak menggunakan duit kerajaan negeri tetapi bergantung sepenuhnya kepada sumbangan agensi dan pihak swasta.
Mengulas lanjut mengenai ada dakwaan mengatakan masalah gaji mengganggu prestasi pasukan hingga menyebabkan kekalahan kepada Pahang 1-4 Sabtu lepas sekali gus menamatkan saingan di tangga keenam Liga Super, Adly berkata isu gaji itu bukan punca utamanya tetapi masalah kecederaan beberapa pemain telah menjejaskan mutu persembahan pasukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!