Melaka tidak halang Wan Ji sampaikan ceramah
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri bersikap terbuka dan tidak menghalang pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin (Wan Ji) untuk menyampaikan ceramah di negeri ini pada masa akan datang.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, walaupun sebelum ini berlaku kekecohan ketika Wan Ji diundang menyampaikan ceramah di sebuah masjid di Durian Tunggal, namun ia bukanlah berpunca daripadanya dan mendakwa perbuatan itu didokong oleh parti politik sehingga mencemarkan institusi masjid.
"Kerajaan negeri benarkan dia (Wan Ji) berceramah di samping kita mengeluarkan surat kebenaran. Kita meletakkan beberapa syarat yang telah ditetapkan jabatan mufti sendiri. Jadi setiap penceramah itu harus melihat balik syarat itu.
"Tiada masalah sebab kalau kita lihat, memang ada penceramah-penceramah yang kritik kerajaan namun fokus kita buat masa ini mahu institusi masjid diimarah dan diramaikan," katanya pada sidang media selepas pasca mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Adly berkata, kebenaran itu tidak hanya terhad kepada Wan Ji malah termasuk penceramah lain yang bertauliah dan mendapat kebenaran Jabatan Mufti sama ada yang menyokong kerajaan atau sebaliknya.
"Sekiranya penceramah itu tidak mendapat tauliah, tetapi individu itu berilmu ia akan diberikan kebenaran khas.
"Setiap penceramah yang masuk ke negeri ini mesti mendapat kebenaran Jabatan Mufti dan akan dipantau agar masjid di negeri ini terus diimarahkan dan disuburkan dengan majlis ilmu," katanya.
Isnin lalu, majlis ilmu dihadiri Wan Ji di Masjid Ar Rahman, Kampung Parit Melana, Durian Tunggal di sini bertukar kecoh.
Dalam kejadian jam 7.50 malam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Ab Wahab yang sedang berucap selepas menunaikan solat Maghrib memaklumkan penganjuran ceramah tersebut telah pun mendapat kebenaran polis sebelum terdapat pihak yang mencetuskan provokasi.
Dalam perkembangan lain, Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, kerajaan negeri baharu bukan sahaja bersikap lebih terbuka terhadap penceramah malah sehingga sekarang belum ada golongan berkenaan yang disenarai hitam atau dihalang menyampaikan ilmu di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!