Setiausaha politik nafi Azmin akan tinggalkan PKR
KUALA LUMPUR – Setiausaha politik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan kononnya Timbalan Presiden PKR itu akan keluar parti selepas beberapa isu yang terpalit dengan dirinya.
Hilman Idham yang menafikan satu hantaran memaklumkan bahawa Mohamed Azmin akan keluar PKR hari ini di aplikasi WhatsApp berkata, fitnah yang ditularkan itu datangnya daripada orang yang sentiasa kalah dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut.
“Malangnya, itu tidak akan berlaku. Mohamed Azmin akan tetap bersama PKR,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Hilman yang ADUN Gombak Setia menambah, adalah mustahil untuk Mohamed Azmin meninggalkan PKR memandangkan beliau menang besar dalam pemilihan parti itu sebelum ini.
“Mohamed Azmin ada dukungan yang cukup kuat di kalangan pimpinan parti, baik dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan juga Wanita PKR.
“Beliau ada kedudukan yang sah dalam politik atau ‘political legitimacy’ untuk terus bersama PKR dan PKR juga adalah ‘basis’ politik Mohamed Azmin,” katanya.
Hari ini, tular di aplikasi WhatsApp dengan satu hantaran "dapat berita AZMIN KELUAR PKR hari ini. Tunggu berita rasmi", menurut hantaran itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!