Turki kutuk serangan bom bunuh diri di Mogadishu
ANKARA - Kementerian Luar Turki mengutuk serangan bom bunuh diri di pejabat datuk bandar di ibu kota Somalia, Mogadishu pada Rabu, lapor agensi berita Anadolu.
"Kami sedih dengan kejadian yang meragut nyawa itu selain mencederakan gabenor wilayah Benadir Abdirahman Omar Osman dan Datuk Bandar Mogadishu," menurut kenyataan kementerian.
Tambah kenyataan itu lagi, Turki turut mengucapkan takziah kepada rakyat dan kerajaan Somalia.
Seorang pengebom bunuh diri wanita meletupkan dirinya di pejabat datuk bandar, mengorbankan nyawa dua pegawai.
Serangan berlaku sejam selepas Datuk Bandar itu bertemu dengan pegawai kanan dari pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di Somalia, termasuk utusan PBB ke Somalia.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!